
ALOR SETAR- Pengumuman dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melarang orang ramai menghisap rokok atau vape di premis dobi bermula pada 1 Januari 2025 nanti mendapat sambutan sangat baik.
Bangunan premis dobi diantara 28 kawasan diwartakan sebagai larangan merokok susulan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2020 (Akta 852).
Menurut Haris Fazillah Ismail, berkata, penguatkuasaan ini menunjukkan kerajaan hari ini mendengar keluhan rakyat terutama ibu bapa yang sering berkunjung ke premis dobi sambil membawa anak-anak mereka.
Katanya, masalah ini sudah lama dimomokkan tetapi tiada sebarang tindakan diambil sehingga ramai ibu bapa merasa bimbang dengan golongan penghisap rokok yang tidak peka dengan masalah ini.
“Alhamdulillah, dengan penguatkuasaan nanti di harap dapatlah mereka yang tidak merokok akan duduk lebih selesa semasa menunggu di situ.Ini secara tidak langsung pelanggan dapat menikmati udara yang bersih.
“Masalah ini walaupun kecil tetapi kadang kalanya boleh membawa perselisihan faham hingga menimbulkan pergaduhan.Ini pernah berlaku kerana ada pihak kurang peka dengan orang ramai menghisap rokok atau vape sebebasnya di situ,” katanya.
Menurut Haris Fazillah lagi, pengumuman itu memberi kegembiraan kepada mereka yang tidak merokok kerana asap itu sering dikatakan menganggu pelanggan untuk duduk di situ bagi menunggu basuhan mereka siap.
Bagi Jamilah Hassan,53, pula berkata, umumnya mengetahui premis itu sering dikunjungi oleh golongan ibu -ibu yang membawa anak kecil disamping membawa pakaian untuk dibasuh.
Katanya, setiap kali datang ke premis dobi jika ada yang merokok sudah pasti pelanggan lain di situ akan mengeluh kerana asap rokok atau vape yang boleh membawa kemudaratan.
“Premis dobi hari ini kadang-kalanya menjadi tempat kawasan berehat terutamanya bagi ibu yang penat bekerja pada siang hari. Bagaimanapun dengan adanya sikap mereka yang kurang prihatin dengan menghisap merokok dengan bebas sudah pasti akan menimbulkan pelbagai masalah.
“Kesan dari asap rokok itu bukan sahaja membawa keburukkan kepada ibu bapa malah kepada anak kecil yang berlegar dan bermain di premis itu.Malah saya difahamkan kesannya akan lebih serius lagi dari mereka yang merokok,” katanya.
Jelasnya lagi, pengumuman dari Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad pada Oktober lalu untuk menguatkuasakan melarang menghisap rokok dan vape di premis dobi adalah langkah yang bijak dan mesra pengguna.
“Saya berharap jika arahan ini dikuatkuasakan pihak berkenaan perlu selalu turun memantau di premis dobi supaya tiada lagi mereka yang merokok dengan sewenangnya hingga menimbulkan kurang senang di kalangan pelanggan yang lain,” katanya.
Sementara itu, tinjauanThe Malaysia Press (TMP) di beberapa premis dobi di sekitar Alor Setar kelihatan pemilik dobi sudah mula meletakkan papan tanda melarang merokok di premis itu.
Bagaimanapun masih ada lagi mereka yang kurang peka dan tetap merokok tanpa memperdulikan kanak- di sekeliling kawasan itu.





