
RANG Undang-undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM) akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada sidang Dewan Rakyat kali ini, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Sebelum ini, Fahmi memaklumkan bahawa Kementerian Komunikasi telah menyerahkan draf Rang Undang-undang Majlis Media Malaysia (MMM) kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk semakan akhir.
Kelewatan pembentangan rang undang-undang itu berikutan permintaan daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) supaya ia menjalani Analisis Impak Peraturan (RIA).
“MPC sebelum ni mohon supaya rang undang-undang ini melalui proses RIA, tapi setelah kita tegaskan ada pasukan jawatankuasa yang bantu lakukan perbincangan awal dan maklum balas untuk bentuk peraturan, akhirnya mereka setuju.
“Saya percaya dalam minggu-minggu akan datang ini kita akan bentang untuk bacaan kali pertama di Parlimen, insya-Allah,” katanya katanya kepada pemberita selepas menziarahi dan menyampaikan bantuan Tabung Kasih@Hawana kepada dua veteran media beragama Hindu sempena sambutan Deepavali, di Batu Caves, pada Isnin.
Fahmi menziarahi bekas wartawan Tamil Malar R Saraspathy dan bekas pembaca pruf Tamil Nesan, S Batemaly di kediaman masing-masing dan program itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin.
Dalam perkembangan lain, Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian yang telah diluluskan oleh Majlis Jemaah Menteri sebelum ini dan akan dibawa ke Parlimen tidak lama lagi bakal memastikan semua kandungan ‘haram’ diturunkan.
Fahmi berkata, perundangan baharu itu menggariskan peranan kurator yang bertanggungjawab memastikan kandungan yang tidak patuh undang-undang dialih keluar daripada semua platform media sosial.
“Ini bermakna kurator media sosial ini perlu lebih proaktif dan memberi penekanan kepada platform mereka supaya mereka (kurator) tidak hanya bertindak berdasarkan aduan atau laporan pengguna,” katanya.
Katanya, rang undang-undang itu akan dibawa ke sidang Parlimen semasa, dengan rancangan untuk bacaan kali kedua dijangka pada awal Disember, bertujuan untuk menangani isu keselamatan dalam talian secara menyeluruh, khususnya mengenai empat jenis aktiviti jenayah utama melibatkan penipuan, perjudian dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.






