Program Kepimpinan Wanita Berimpak Tinggi platform wanita ceburi politik, tingkat kualiti

TAWAU – Program Kepimpinan Wanita Berimpak Tinggi peringkat Parlimen Tawau menjadi platform peluang golongan itu terlibat ke arena politik selain mempertingkat kualiti kepimpinan masing-masing.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, perkara ini secara tidak langsung mendorong hasrat kerajaan Persekutuan dan Negeri yang mensasarkan 30 peratus wanita sebagai pembuat dasar.

“Kita telah menyaksikan penglibatan wanita menceburi bidang politik sejak dahulu sehingga kini semakin berkembang apabila mereka menjadi suara dalam proses membuat keputusan dan memainkan peranan penting dalam membentuk dasar awam.

“Walaupun terdapat banyak cabaran dan halangan, wanita telah membuktikan bahawa mereka mempunyai kebolehan dan keberanian untuk mengubah landskap politik negara khususnya di wilayah Sabah,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Kepimpinan Wanita Berimpak Tinggi siri kedua di sini, pada Ahad.

Sehubungan itu, Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas menyeru agar wanita tidak gentar untuk melangkah ke dunia politik yang memerlukan suara wanita dalam memastikan kebajikan masyarakat terpelihara dengan lebih menyeluruh.

“Dengan lebih ramai wanita dalam politik, kita dapat memperjuangkan dasar yang lebih inklusif, yang mengambil kira keperluan wanita, kanak-kanak, dan keluarga secara lebih holistik,”ujarnya.

Sementara itu, tokoh pelaksana program Nazliah Ali dalam ucapannya berkata, program ini membawa wanita memahami dengan lebih mendalam bagaimana untuk menjadi pemimpin berkesan dalam komuniti masing-masing.

“Melalui program ini, peserta (perantis) juga dapat membina rangkaian sokongan yang kukuh dalam kalangan wanita yang berkongsi matlamat yang sama kerana penglibatan di peringkat DUN memerlukan wanita yang bukan sahaja memahami isu-isu tempatan tetapi juga bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk membawa perubahan positif,” jelasnya.

Program Kepimpinan Wanita Berimpak Tinggi juga turut membawakan empat panel tokoh wanita dalam forum bagi sesi perkongsian bersama perantis iaitu ADUN Kunak Datuk Norazlinah Arif, Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Silam Datuk Mizma Appehdullah, Pengerusi Lembaga Kebajikan perempuan Islam Tawau Datuk Hajah Hamisa Samad dan Bendahari Bahagian Gagasan Rakyat Balung, Datuk Rosdiana Mohd Nor.

Program ini disertai 30 perantis dari pelbagai parti politik antaranya Gagasan Rakyat, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS).

Bagi seorang perantis, Hashifah Bacho, program ini memberi peluang kepada wanita untuk menonjolkan diri dan mengenali potensi diri.

“Melalui kursus ini, saya dapat belajar dari sejak siri pertama (12 dan 13 Oktober) lagi bagaimana kami sebagai pemimpin perlu mengenali kawasan DUN masing-masing dan bagaimana untuk menjadi pemimpin wanita yang lebih berimpak dalam mendepani komuniti,” katanya.

Ilija Hakim turut senada apabila bertuah dipilih menjadi salah satu perantis dan menyifatkan program ini memberi kesan pada dirinya terutama dari aspek meningkatkan keberanian untuk bersuara dan keyakinannya untuk terus menceburi politik.

“Selama ini saya kurang keyakinan untuk berpolitik tapi dari sini saya lihat bahawa wanita boleh berdiri bersama pemimpin lelaki selain sangat mengharapkan agar selepas ini terdapat lagi siri lanjutan yang boleh disertai,” katanya.

Related Posts

Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Pahang perlu bertemu segera isu eksport pasir sungai

KUANTAN – Pemuda UMNO Negeri Pahang menyokong penuh titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang, Jumaat lalu. Ketua…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Pemuda UMNO Bera harap titah Tengku Hassanal diberi perhatian Kerajaan Persekutuan

KUANTAN – Pemuda UMNO Bahagian Bera berharap Kerajaan Persekutuan memberi perhatian serius terhadap perkara dibangkitkan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkaitan pembangunan dan kepentingan rakyat di negeri…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Pahang perlu bertemu segera isu eksport pasir sungai

Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Pahang perlu bertemu segera isu eksport pasir sungai

Pemuda UMNO Bera harap titah Tengku Hassanal diberi perhatian Kerajaan Persekutuan

Pemuda UMNO Bera harap titah Tengku Hassanal diberi perhatian Kerajaan Persekutuan

Program kesihatan dan kesejahteraan Beratok 2026 meriahkan semangat kebersamaan penduduk

Program kesihatan dan kesejahteraan Beratok 2026 meriahkan semangat kebersamaan penduduk

Program K.A.W.A.N perkukuh penyampaian inisiatif kerajaan kepada rakyat

Program K.A.W.A.N perkukuh penyampaian inisiatif kerajaan kepada rakyat

Pahang terus jadi nadi utama kepentingan FELDA

Pahang terus jadi nadi utama kepentingan FELDA

Perlu penyelesaian jangka panjang trafik Telipok, alih bulatan tidak boleh tergesa-gesa

Perlu penyelesaian jangka panjang trafik Telipok, alih bulatan tidak boleh tergesa-gesa