IPOH – Penahanan tiga lelaki dalam tiga serbuan berasingan di Kuala Lumpur dan Ipoh membawa kepada rampasan sejumlah 32,857.14 liter minuman keras dengan anggaran cukai sebanyak RM2.8 juta oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak, baru-baru ini.
Pengarah Kastam Perak, Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata, kesemua premis terbabit dipercayai menyimpan arak disyaki barang tak berkastam bagi mengaburi pihak berkuasa dan ketiga-tiga kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pada 14 Oktober lalu, serbuan yang dijalankan Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Pengkalan Hulu di sebuah premis di Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur, membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 58 tahun.
“Hasil pemeriksaan dalam serbuan sekitar jam 4.30 petang itu menemui 6,100.6 liter arak pelbagai jenama membabitkan cukai dianggarkan RM557,346.26,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.
Katanya, serbuan kedua dan ketiga yang dilakukan oleh cawangan JKDM yang sama, melibatkan penahanan dua lelaki yang masing-masing berumur 43 dan 64 tahun di dua lokasi berasingan sekitar Ipoh pada 18 Oktober, jam 1 dan 3.30 petang.
“Hasil pemeriksaan menemui 17,477.90 liter minuman keras pelbagai jenama dengan anggaran cukai berjumlah RM1,695,219.60 dan seorang lelaki berumur 43 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Sejumlah 9,278.64 liter minuman keras pelbagai jenama berjumlah RM557,346.06 ditemui dalam serbuan di sebuah lagi premis di sini.
“Menerusi serbuan itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 64 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan,” jelas Abdul Ghafar.







