
BEIRUT – Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh termasuk seorang kanak-kanak manakala 24 yang lain cedera dalam serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah hospital di sekitar ibu negara Lubnan.
Kementerian Kesihatan Lubnan berkata, susulan serangan udara yang menyasarkan kawasan sekitar Hospital Universiti Rafik Hariri yang terletak di pinggir selatan Beirut itu telah merosakkan sebahagian besar bangunan.
Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA) melaporkan, semasa kejadian, jet pejuang Israel telah mengebom kawasan berhampiran hospital tanpa sebarang amaran diberikan, kemudian meneruskan serangan baharu di kawasan Haret Hreik di selatan Beirut sejurus selepas mengeluarkan arahan pemindahan kepada penduduk.
Tambah sumber, buat pertama kalinya dalam sejarah peperangan Israel-Lubnan, kawasan Al-Awza’i di pinggir Beirut yang menempatkan aset ekonomi Hizbullah diserang sejurus selepas tentera Israel mengeluarkan amaran.
Menurut kenyataan jurucakap tentera Israel Daniel Hagari, pesawat pejuang Israel akan meneruskan serangan ke atas Beirut yang menyasarkan aset ekonomi Hizbullah.
Sementara itu, angka kematian di Lubnan, terus meningkat kepada 2,483 kematian dan 11,628 tercedera, tidak termasuk dengan 24 orang yang terkorban akibat serangan di sekitar selatan dan utara Lubnan pada Isnin.






