
SANDAKAN – Sebanyak tujuh lokasi yang ditetapkan oleh Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) sebagai hab kitar semula untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pengasingan sampah dan mempertingkatkan kadar kitar semula di kawasan ini.
Antara lokasi yang ditetapkan adalah Pasar Taman Fajar, Dewan Batu 8, Pasar Kim Fung, Pasar Elopura, Taman Tun Razak, Wisma Perbandaran dan Harbour Square.
“Inisiatif ini bertujuan untuk memupuk amalan pengasingan sampah dalam kalangan penduduk demi mencapai Sandakan yang lebih bersih dan sejahtera.
“Pihak Berkuasa Tempatan itu juga mengingatkan penduduk agar tidak memasukkan sisa makanan dan bahan berair ke dalam tong kitar semula,” kata MPS dalam satu kenyataan pada Khamis.
Justeru, MPS menyeru masyarakat untuk bersama-sama menjadi individu yang bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar.




