
KUCHING – Kejohanan Pusaka Golf 2024 menawarkan lapan hadiah ‘hole in one’ (pukulan terus ke lubang) bernilai RM195,000.
Selain itu, beberapa hadiah menarik disediakan termasuk percutian mewah, set Home Teater, kereta Perodua Bezza 1.0, Perodua Myvi 1.5 dan jam tangan Rolex.
Menurut Pengurus Besar Pusaka, Zainal Abidin, penganjuran edisi ke-30 bakal berlangsung pada 26 Oktober di Kelab Golf Sarawak (KGS).
Difahamkan peserta terdiri daripada kategori VIP, Jemputan Khas, anak-anak syarikat, kakitangan Pusaka, serta kategori Lelaki dan Wanita (Terbuka).
Zainal turut menzahirkan keyakinan kejohanan tahunan Pusaka Golf akan terus menjadi acara berprestij bukan sahaja pada peringkat negeri tetapi peringkat nasional.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Hadiah Hole-In-One dan Challenge Trophy Golf Pusaka 2024 pada Khamis.
Dalam majlis tersebut, Zainal juga menyerahkan piala Pusaka 2024 kepada Kapten KGS Ting Kee Suen yang akan diberikan kepada juara kejohanan nanti.






