KATA-KATA seorang ulama dari Kedah, Tok Guru Abdul Rahim Abdul Rahman yang memuji keberanian Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memerangi rasuah berskala besar kembali menjadi perhatian susulan pendedahan sindiket penyeludupan dadah bernilai RM156 juta yang didakwa mengeksploitasi kemudahan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Pendedahan kegiatan penyeludupan kira-kira tiga tan syabu itu mencetuskan pelbagai reaksi masyarakat, khususnya apabila kegiatan berkenaan dipercayai membabitkan penggunaan kemudahan ketenteraan.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang pengguna Threads dikenali sebagai @sueesasha mengimbas kembali rakaman ucapan Tok Guru Haji Abdul Rahim bertarikh 18 Ogos 2026 yang memuji keberanian Perdana Menteri berdepan gejala rasuah dan salah guna kuasa.
“Hanya inilah satu-satunya Perdana Menteri yang berani, kita puji,” katanya dalam rakaman ketika menghadiri satu majlis.
Pengguna berkenaan turut mengaitkan kenyataan itu dengan beberapa pendedahan kes berprofil tinggi yang mencetuskan perhatian umum sejak kebelakangan ini.
“Lepas satu-satu terbongkar. Sebab itu ramai yang nak jatuhkan Anwar Ibrahim. Terbaik Kerajaan MADANI,” tulisnya.
Hantaran tersebut mendapat perhatian pengguna media sosial apabila mencatatkan kira-kira 34,100 tontonan ketika tangkap layar diambil.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan kegiatan penyeludupan dadah bernilai RM156 juta hasil risikan pihak polis.
Anwar pula menyifatkan penyalahgunaan pesawat tentera bagi kegiatan penyeludupan dadah sebagai satu pengkhianatan terhadap negara.
Isu itu sekali lagi mengangkat persoalan serius mengenai integriti institusi keselamatan negara serta kemungkinan wujudnya kelemahan pengawasan yang dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab.
Apa yang lebih penting, pendedahan tersebut tidak seharusnya terhenti setakat penahanan individu tertentu.
Siasatan perlu diteruskan bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian sindiket, termasuk dalang, pembiaya dan mana-mana pihak yang mungkin menyalahgunakan kedudukan untuk melindungi kegiatan haram berkenaan.
Dalam usaha membanteras rasuah dan salah guna kuasa, prinsip ketegasan serta keadilan perlu dilaksanakan tanpa memilih kedudukan, pangkat atau pengaruh.
Akhirnya, rakyat mahu melihat bukan sekadar pendedahan demi pendedahan, tetapi tindakan tegas dan hasil siasatan yang mampu mengembalikan keyakinan terhadap institusi negara.



