
BETING MARO – Calon muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS), Awang Nashfarini Awang Sarbini menyifatkan kemenangannya tanpa bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.29 Beting Maro pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 sebagai amanah besar yang perlu digalas sebaik mungkin demi kepentingan penduduk setempat.
“Ini adalah satu isyarat daripada rakyat Beting Maro yang bersatu padu memberi kepercayaan kepada saya untuk menerajui DUN Beting Maro. Saya tidak akan mensia-siakan kepercayaan rakyat kepada saya, insya-Allah,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP) pada Sabtu.
Beliau menzahirkan rasa syukur atas keputusan tersebut serta merakamkan penghargaan kepada Pengerusi GPS merangkap Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerana memilihnya mewakili gabungan berkenaan di kawasan itu.
Penghargaan sama turut ditujukan kepada ibu bapa serta ahli keluarganya, penyandang tiga penggal kerusi DUN Beting Maro sejak 2011, Datuk Razaili Gapor dan Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli atas sokongan sepanjang proses pencalonan.
Mengulas kehadiran ramai penyokong pada hari penamaan calon hari ini, Awang Nashfarini mengakui tidak menyangka sambutan sedemikian memandangkan beliau merupakan muka baharu, namun menyifatkan pengalaman berkhidmat di Pusat Khidmat DUN Beting Maro serta kawasan Parlimen Batang Lupar banyak membantunya mendekati masyarakat akar umbi.
Sehubungan itu, beliau menjadikan sokongan berkenaan sebagai motivasi untuk memperkukuh pendekatan turun padang bagi mendengar sendiri permasalahan penduduk serta mengenal pasti keperluan pembangunan menerusi kerjasama erat bersama ketua masyarakat dan agensi kerajaan berkaitan.
“Untuk apa yang telah dibawa oleh mantan ADUN terdahulu, insya-Allah, apa yang baik kita akan teruskan dan apa yang kurang kita akan cuba perbaiki untuk menjadi lebih baik,” katanya.
Terdahulu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN N.29 Beting Maro, Hamdan Katang mengesahkan kemenangan tanpa bertanding calon Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu di Pusat Penamaan Calon Pejabat Daerah Pusa selepas hanya satu kertas penamaan calon diterima pagi tadi.
Berdasarkan kenyataan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), DUN N.29 Beting Maro merupakan antara 29 kerusi yang dimenangi GPS tanpa bertanding selepas tempoh penyerahan kertas penamaan calon ditutup pada pukul 10 pagi tadi, sekali gus menyaksikan pengundi di kawasan berkenaan tidak perlu keluar mengundi.



