
MIRI – Keperluan mewujudkan mekanisme semak dan imbang agar kuasa tidak tertumpu kepada satu pihak menjadi penekanan utama calon DAP bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.75 Senadin, Alan Ling Sie Kiong ketika membuka tirai ceramah rakyat pertamanya pada Sabtu.
Ceramah yang diadakan di bawah Pejabat Ahli Parlimen Miri itu memulakan gerak kerja penerangan lapangan parti berkenaan sejurus tempoh berkempen rasmi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 bermula selepas pengisytiharan penamaan calon semalam sehingga pukul 11.59 malam, 11 Disember ini.
Berucap di hadapan penduduk setempat yang hadir, Setiausaha DAP Sarawak itu menegaskan suara rakyat tidak wajar diketepikan, sebaliknya sistem demokrasi yang berfungsi memerlukan ruang kepada pandangan berbeza bagi memastikan kepentingan masyarakat sentiasa diberi perhatian.
Mengakui cabaran politik semasa yang dihadapi partinya bukan sesuatu yang mudah, beliau menyeru penyokong serta pengundi supaya tidak berputus asa menyuarakan pandangan di samping mempertahankan prinsip keadilan dan kebebasan bersuara seiring tema kempen “Undi DAP, Kuatkan Suara Rakyat”.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau itu turut merakamkan penghargaan atas kehadiran serta kata-kata semangat masyarakat yang disifatkannya sebagai sumber kekuatan buat jentera parti sepanjang tempoh berkempen ini.
Pada pilihan raya negeri kali ini, Alan, 43, berdepan pertembungan empat penjuru di DUN Senadin menentang penyandang enam penggal daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) merangkap Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin, calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Ngieng Sheng Chung, 54, serta calon Bebas, Tibin Sidu, 61.
Kerusi DUN Senadin yang mempunyai seramai 75,641 pemilih berdaftar merupakan antara sembilan kawasan yang menyaksikan saingan empat penjuru dan salah satu daripada 14 kerusi yang ditandingi DAP pada PRN Sarawak ke-13 menjelang hari pengundian 12 Disember ini.
Pada PRN Sarawak ke-12 lalu, Kim Shin mempertahankan kerusi berkenaan bagi komponen Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dengan majoriti 7,591 undi selepas meraih 10,535 undi dalam pertandingan lima penjuru.



