
KENYATAAN Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa ramai individu yang merosakkan negara menguasai bahasa Inggeris dengan baik memang boleh dibahaskan.
Tetapi apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadikan sasaran, kononnya fasih berbahasa Inggeris tetapi tidak menunaikan janji, timbul persoalan apa kaitan penguasaan bahasa dengan keupayaan mentadbir negara?
Seorang penganalisis politik , Ibnu Ali berkata, adakah fasih bahasa Inggeris bermakna seseorang itu pemimpin gagal? Adakah tidak fasih pula menjadikan seseorang lebih amanah, bijaksana dan cekap?
Kalau begitu ukurannya, tidak perlulah rakyat menilai dasar ekonomi, pelaburan, peluang pekerjaan, pengurusan kewangan dan kebajikan. Buat sahaja ujian bahasa sebelum memilih Perdana Menteri!
Hakikatnya, bahasa ialah alat komunikasi, bukannya ukuran mutlak integriti dan kemampuan kepimpinan. Bahasa Melayu wajib dimartabatkan, tetapi penguasaan bahasa Inggeris juga satu kelebihan dalam dunia diplomasi, perdagangan, teknologi dan pendidikan antarabangsa.
Contoh pemimpin Turkiye dan China yang menggunakan bahasa ibunda atau jurubahasa juga tidak membuktikan bahawa penguasaan bahasa asing tidak penting. Kejayaan sesebuah negara bergantung pada pelbagai faktor, bukan semata-mata bahasa pemimpinnya.
Jangan keliru antara kefasihan berbahasa dengan kecekapan mentadbir!
Berkenaan dakwaan Anwar tidak menunaikan janji, nyatakan secara khusus janji yang dimaksudkan. Apakah janji tersebut, bila dibuat dan apakah status pelaksanaannya?
Bezakan antara janji yang sudah ditunaikan, sedang dilaksanakan, tertangguh dan benar-benar gagal.
Itulah kritikan berasaskan fakta, bukannya sekadar bermain sindiran untuk menghiburkan penyokong sendiri.
Dari perspektif Islam, Allah SWT mengingatkan dalam Surah al-Hujurat, ayat 6 supaya kita menyelidiki berita sebelum membuat penilaian. Surah al-Ma’idah, ayat 8 pula menegaskan bahawa kebencian tidak boleh menghalang kita daripada berlaku adil.
Sanusi tidak wajib fasih berbahasa Inggeris. Beliau berhak menggunakan bahasa Melayu atau loghat Kedah. Tetapi apabila mengkritik pemimpin lain, hujahnya juga perlu berasaskan fakta dan logik.
Kadang-kadang, ucapan politik pembangkang memperlihatkan satu masalah yang sukar dibendung apabila hujah tentang dasar dan penyelesaian semakin kurang diketengahkan, sindiran peribadi pula semakin mengambil tempat.
Rakyat tidak memerlukan pertandingan siapa paling fasih berbahasa Inggeris atau paling hebat berpidato. Rakyat mahu melihat siapa mampu mentadbir, menyelesaikan masalah dan melaksanakan amanah.
Politik bukan pertandingan siapa paling hebat menyindir, tetapi siapa mampu menawarkan penyelesaian kepada rakyat.
Ingatlah, bahasa Inggeris tidak menjadikan seseorang itu maksum. Tidak fasih bahasa Inggeris juga tidak menjadikan seseorang lebih suci.
Jangan terpesona dengan keindahan kata-kata sehingga terlupa menilai realiti kepimpinan. Lidah boleh menjanjikan syurga, tetapi amanah, tindakan dan hasil kerja yang menentukan nilai sebenar seseorang pemimpin.



