
TAWAU – Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) akan terus dilaksanakan sebagai inisiatif kerajaan menyediakan alternatif pembelian barangan keperluan pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran setempat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, program yang mula dirintis pada 2023 itu mendapat sambutan baik sebelum diinstitusikan sebagai program tetap kerajaan pada 2024 dengan peruntukan khusus dalam Belanjawan.
“Menerusi peruntukan itu, kerajaan menetapkan pelaksanaan PJRM sebanyak tiga kali sebulan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan keseluruhan 30,000 siri program diadakan di seluruh negara setiap tahun.
“Susulan sambutan amat baik, Perdana Menteri turut menambah peruntukan bagi pelaksanaan program itu pada 2027 bagi memberikan akses seluas-luasnya kepada rakyat,” katanya kepada media pada Program Jualan Rahmah MADANI di Kampung Budaya Pasir Putih, di sini, pada Ahad.

Pada program itu, Armizan turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan bakul Rahmah MADANI kepada 150 golongan yang memerlukan.
Menurut Armizan, Takwim PJRM yang diperkenalkan tahun lalu turut membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat mengenai lokasi dan jadual program di kawasan sekitar mereka.
“Jadi kita akan bekerjasama dengan pengurusan surau, masjid, gereja, tokong, permis-permis perniagaan tertentu untuk kita tampal takwim itu supaya rakyat boleh semak di mana perjadualan tersebut,” ujarnya.
Untuk rekod, PJRM membuka ruang iaitu penglibatan syarikat perniagaan dan koperasi bagi subsektor peruncitan dalam pelaksanaan program terbabit.
Difahamkan, seramai 3,132 rakan strategik peruncitan terlibat di seluruh negara direkodkan sehingga 22 Oktober tahun ini dengan akses lebih luas sama ada dalam atau luar premis serta PJRM bergerak dengan pengagihan barangan meliputi kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman.



