
MIRI – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Roland Engan mengesahkan tidak akan bertanding sebagai calon mahupun terlibat dalam kempen Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13.
Beliau berkata, keputusan itu selaras dengan ketetapan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak pada 24 November lalu yang memutuskan parti berkenaan tidak meletakkan calon pada pilihan raya kali ini.
Menurutnya, pendirian tersebut turut mencerminkan komitmen parti dalam menghormati semangat muafakat, kestabilan politik serta kerjasama dalam kerajaan Perpaduan.
“Tumpuan utama saya sebagai Naib Presiden KEADILAN selepas ini adalah untuk memastikan erti persefahaman dan kerjasama politik antara KEADILAN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) benar-benar diterjemahkan kepada hasil yang nyata dan konkrit demi manfaat kedua-dua pihak serta seluruh rakyat Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Roland yang juga Ketua Cabang PKR Baram berkata, kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan perlu melangkaui retorik politik, sebaliknya dilaksanakan secara bersepadu bagi menangani isu yang sekian lama membelenggu rakyat.
Jelas beliau, antara perkara yang perlu diberi perhatian termasuk penyelesaian isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), pembangunan luar bandar, penyediaan kemudahan asas serta jaminan komposisi dan perwakilan yang adil dalam perkhidmatan awam.
Selain itu, beliau menekankan kepentingan pengagihan peruntukan dan projek pembangunan secara saksama, usaha menangani isu sosial, penyediaan peluang pekerjaan berkualiti kepada golongan muda serta langkah mempergiat pembanterasan rasuah.
“Saya berpendirian bahawa segala isu teras ini mesti ditangani secara bersama dengan menetapkan pelan tindakan yang jelas, tempoh masa yang munasabah serta sasaran yang realistik dan boleh dicapai dalam tempoh lima (5) tahun akan datang,” ujarnya.
Tambah beliau, ketiadaan penglibatan dalam pilihan raya kali ini tidak bermakna perjuangan membela nasib rakyat Sarawak akan terhenti, sebaliknya ruang kerjasama politik sedia ada akan dimanfaatkan sepenuhnya demi memastikan agenda kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri terus diutamakan.



