KOTA ISKANDAR – Kerajaan Johor disaran mempertimbangkan semula pelaksanaan Skim Air Percuma Sejagat bagi meringankan beban rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, susulan kedudukan kewangan negeri dan hasil pelaburan yang semakin kukuh.
Cadangan itu dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik, yang berpandangan sebahagian hasil dan kemakmuran negeri wajar dikembalikan kepada rakyat melalui inisiatif kebajikan yang memberi manfaat secara langsung.
Menurut beliau, skim berkenaan boleh dilaksanakan dengan menyediakan 10 hingga 15 meter padu air percuma bagi setiap isi rumah setiap bulan, yang dikreditkan terus ke dalam bil akaun air pengguna.
Maszlee berkata, pelaksanaan skim air percuma bukan sesuatu yang baharu bagi Johor kerana inisiatif serupa pernah diperkenalkan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2018, manakala Selangor masih meneruskan skim berkenaan sehingga kini.
“Johor juga pernah melaksanakan skim ini sebelum ini dan mungkin boleh ditambah baik untuk kali ini.
“Hari ini duit banyak, kalau hendak ikutkan boleh pulangkan kembali kepada rakyat melalui air percuma. Kalau kita boleh beri air kepada pusat data, kenapa tidak boleh berikan air kepada rakyat?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi perbahasan Belanjawan Johor 2027 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, pada Jumaat.
Dalam perkembangan sama, Maszlee turut membangkitkan isu gangguan bekalan air yang berulang di Taman Daya sejak dua bulan lalu, yang disifatkan menjejaskan rutin harian serta keselesaan penduduk setempat.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar pihak berkuasa mempertimbangkan pemberian diskaun bil air atau pampasan khas kepada pengguna yang terkesan sebagai langkah meringankan beban mereka.
Sebagai rekod, skim air percuma sebanyak 10 meter padu sebulan pernah diperkenalkan oleh pentadbiran PH di Johor pada 2018, khusus untuk golongan B40.
Inisiatif yang menelan belanja RM22.02 juta setahun itu menyasarkan sekurang-kurangnya 229,307 pemegang akaun air yang layak.
Cadangan menghidupkan semula skim berkenaan kini membuka ruang kepada perbincangan mengenai bagaimana kemakmuran, hasil negeri dan manfaat pelaburan dapat diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat secara lebih langsung.


