
KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus mengukuhkan kedudukannya di peringkat antarabangsa apabila berjaya melonjak ke kelompok 200 universiti terbaik Asia, dengan menduduki tangga ke-196 dalam QS Ranking Asia 2027.
Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Dr. Musa Aman berkata, pencapaian itu membuktikan komitmen universiti berkenaan dalam memperkukuh kecemerlangan akademik serta meningkatkan pengiktirafannya di peringkat nasional dan antarabangsa.
“UMS turut mencatatkan kedudukan cemerlang dalam penarafan THE Impact Rankings apabila berada di tangga ke-44 dan ke-59 dunia, masing-masing dalam SDG 1 (Tiada Kemiskinan) dan SDG 2 (Sifar Kelaparan).
“Ini jelas memperlihatkan komitmen tinggi universiti dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals – SDGs) sekali gus menempatkan UMS sebagai Pusat Ilmu yang semakin menonjol serta diiktiraf di peringkat nasional mahupun antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Konvokesyen UMS kali ke-28 sidang pertama, di Dewan Canselor UMS, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan graduan supaya bersedia menyahut cabaran era kecerdasan buatan (AI) dan teknologi disruptif, selaras dengan nilai UMS sebagai ‘The Brain of Borneo’.
Katanya, UMS sebagai universiti komprehensif perlu proaktif memastikan graduannya bukan sekadar menjadi pengguna teknologi AI, sebaliknya pencipta dan pemimpin yang mampu mengemudi inovasi secara beretika.
Beliau yang juga Canselor UMS berkata, kemajuan AI perlu dimanfaatkan bagi meningkatkan produktiviti dalam pelbagai sektor termasuk sains, kejuruteraan, ekonomi dan kemanusiaan, sekali gus memberi impak positif kepada pembangunan Sabah dan Malaysia.
Tun Musa turut mengingatkan dalam mengejar kemajuan intelek, ketinggian adab merupakan benteng paling kukuh dalam pembinaan sesebuah peradaban.
“Ilmu tanpa adab ibarat pohon yang tidak berbuah,” ujarnya.
Sebagai rekod, Istiadat konvokesyen tahun ini meraikan keseluruhan 5,081 graduan daripada pelbagai bidang pengajian.
Sidang pertama yang terdiri daripada 585 graduan iaitu termasuk 490 graduan pascasiswazah pada peringkat Doktor Falsafah, Doktor Kesihatan Awam dan Sarjana serta 95 graduan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dalam bidang Perubatan dan Kejururawatan.



