
AMPANG – Penyalahgunaan aset pertahanan negara, khususnya pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk kegiatan penyeludupan dadah, merupakan satu bentuk pengkhianatan yang boleh mengancam keselamatan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kegiatan itu tidak boleh dianggap sebagai kejadian terpencil, sebaliknya perlu ditangani secara menyeluruh susulan petunjuk bahawa masalah berkenaan mungkin sudah berlaku sejak sekian lama.
“Mana mungkin kita membiarkan benteng pertahanan negara kita dibocori begitu sahaja oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Ini merupakan satu pengkhianatan terhadap negara dan membawa bahaya yang amat besar.
“Saya ingin tegaskan bahawa selagi saya masih memegang tugas, tanggungjawab dan amanah ini, saya tidak akan berkompromi dalam perkara sedemikian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Baru Ampang, di sini, hari ini.

Menurut Anwar, meskipun pelbagai tindakan sudah diambil dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk pada skala paling besar berbanding tahun-tahun sebelumnya, kegiatan berkenaan masih berlaku.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan kementerian dan semua agensi penguat kuasa berkaitan supaya memantau isu berkenaan secara dekat serta memastikan tiada sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang terbabit.
Beliau turut mengarahkan laporan disediakan oleh setiap jabatan di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pertahanan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
“Saya mahu laporan daripada setiap jabatan. Jika berlaku kebocoran atau kelemahan dalam mana-mana agensi, termasuk kastam, kita akan beri amaran dan mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar memaklumkan Jemaah Menteri turut sebulat suara menyokong usaha membanteras kegiatan berkenaan bagi memastikan aset dan sistem pertahanan negara tidak disalahgunakan untuk kepentingan pihak tidak bertanggungjawab.


