
LIMBANG – Penyediaan kemudahan jalan raya, bekalan elektrik, air bersih serta telekomunikasi di kawasan luar bandar menjadi antara keutamaan Datuk Dr Abdul Rahman Ismail sekiranya kembali diberi mandat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
“Tempoh lima tahun akan datang penting untuk menyelesaikan projek infrastruktur yang masih belum siap, khususnya di kawasan luar bandar,” katanya ketika ditemui media di Lapangan Terbang Limbang selepas tiba dari Kuching pada Jumaat.
Abdul Rahman yang mewakili kerusi DUN Bukit Kota sejak 2006 turut menyifatkan projek Jalan Penghubung Sabah-Sarawak (SSLR) sebagai projek strategik yang dijangka menambah baik jaringan perhubungan darat antara Limbang, Lawas dan Miri apabila siap kelak.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) memperuntukkan sebanyak RM500 juta bagi meneruskan kajian serta pencarian sumber gas di Limbang dan Lawas.
“Hasil kajian awal menunjukkan potensi yang positif dan penemuan sumber gas yang boleh dibangunkan berpeluang merancakkan ekonomi setempat serta membuka peluang pekerjaan,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa pengundi akan menilai rekod pembangunan di kawasan berkenaan sebelum membuat keputusan pada hari pengundian 12 Disember ini.



