
DARO – Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Daro, Dr Safiee Ahmad menjadikan doa serta restu ibunya sebagai sumber kekuatan utama untuk meneruskan amanah berkhidmat kepada masyarakat.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, penyandang kerusi DUN berkenaan memohon doa dan restu agar segala urusan beliau dalam menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat sentiasa dipermudahkan.
Dalam perkongsian sama, beliau turut mendoakan agar ibunya sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik serta usia yang diberkati.
Beliau pada masa sama menghadiahkan bacaan surah al-Fatihah serta mendoakan agar roh Allahyarham bapanya sentiasa dicucuri rahmat Allah SWT.
Safiee mula memegang mandat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 2016 sebelum mempertahankannya pada PRN 2021.
Sepanjang dua penggal perkhidmatannya di kawasan berkenaan, tumpuan diberikan kepada pembangunan infrastruktur termasuk jaringan perhubungan darat, penyediaan kemudahan asas dan awam, pemerkasaan pendidikan serta kesejahteraan komuniti setempat.



