
KUALA LUMPUR – Keupayaan Malaysia menanggung subsidi minyak sehingga RM40 bilion setahun bagi mengekalkan harga bahan api pada kadar rendah bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat, malah turut menarik perhatian pemimpin luar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemampuan kerajaan mempertahankan harga minyak rendah bukan diperoleh secara percuma, sebaliknya memerlukan pengurusan kewangan yang cermat bagi menampung perbelanjaan besar berkenaan.
Katanya, selain subsidi minyak, kerajaan turut menyediakan RM16 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Kerajaan kena tampung kos subsidi sebanyak RM40 bilion setahun untuk pertahankan harga minyak.
“Bagaimana boleh kita tampung RM40 bilion ini, selain RM16 bilion untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Sebab kita cermat dalam pengurusan kewangan. Kita elak daripada kecurian, bocor dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu Kali Ke-46 dan Hadiah Kecemerlangan Pendidikan di Taman Tamadun Islam, di sini, hari ini.
Anwar turut mempersoalkan sikap sesetengah pihak yang memandang ringan perbuatan mencuri apabila dilakukan individu berkedudukan tinggi, sedangkan kesalahan sama dalam kalangan murid sekolah dikenakan hukuman.
Katanya, nilai akhlak dan adab yang diterapkan sejak di bangku sekolah seharusnya terus dipertahankan tanpa mengira kedudukan seseorang dalam masyarakat.
“Inilah sebabnya mengapa bagi saya pendidikan itu sangat penting dan bukannya berkisar hanya pendidikan di sekolah semata-mata,” katanya.

