
KUCHING – Parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang berdepan tindakan keluar parti oleh pemimpin berpengalaman disaran menjadikan perkembangan itu sebagai ruang muhasabah bagi memperkukuh organisasi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Ketua Penerangan GPS, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perbezaan pendapat serta rasa tidak puas hati terhadap pucuk pimpinan merupakan lumrah dalam politik kepartian yang mampu mematangkan sesebuah organisasi jika dinilai secara terbuka.
“Secara peribadi, saya berpandangan bahawa perkara ini mungkin boleh menjadikan parti lebih matang.
“Apabila melihat ahli veteran meninggalkan parti, ia sepatutnya mendorong parti untuk menilai apa yang sedang berlaku,” katanya selepas merasmikan Ekspo dan Persidangan BorneoCraft Global 2.0 (BCG 2.0) pada Rabu.
Beliau bagaimanapun memilih untuk tidak mengulas lanjut pergolakan dalaman Parti Demokratik Progresif (PDP) susulan peletakan jawatan dan keahlian Datuk Seri Wong Soon Koh serta Dr Johnical Rayong Ngipa pada 22 November lalu.
Kemelut itu turut diikuti pengunduran lima jawatankuasa perkhidmatan PDP di Sibu, meskipun dipersoalkan Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing berdasarkan Klausa 3 Memorandum Persefahaman (MoU) penyatuan Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan PDP.
Susulan perkembangan itu, pengumuman calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyaksikan Rayong mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili di bawah Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), manakala DUN Bawang Assan diisi calon baharu SUPP, Kevin Lau Kor Jie.
Dalam pada itu, Abdul Karim menjelaskan pencalonan 11 muka baharu yang mewakili kira-kira 13.4 peratus daripada 82 calon bertujuan menyuntik tenaga segar serta meremajakan barisan pelapis GPS selari dengan hasrat Pengerusi GPS merangkap Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan proses penamaan calon PRN Sarawak ke-13 berlangsung pada Sabtu ini (28 November), diikuti pengundian awal pada 8 Disember dan hari mengundi pada 12 Disember.



