
24 November 2022, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 ketika Malaysia berdepan ketidaktentuan politik, tekanan ekonomi dan krisis keyakinan terhadap institusi negara.
Empat tahun kemudian, perjalanan Kerajaan MADANI memperlihatkan perubahan dalam pelbagai bidang, daripada ekonomi, kebajikan rakyat, pendidikan, kesihatan hinggalah hubungan antarabangsa.
Ingat, di bawah kepimpinan Anwar lah negara ini kembali mengecapi kestabilan politik, siri pertukaran 3 perdana menteri dalam tempoh sepenggal adalah titik hitam politik negara.
Dalam sektor ekonomi, Malaysia terus mencatat pertumbuhan positif, menarik pelaburan domestik dan asing serta memperkukuh kedudukan sebagai destinasi pelaburan serantau.
Pelaksanaan Ekonomi MADANI, NIMP 2030 dan Strategi Semikonduktor Nasional menjadi antara usaha mengubah struktur ekonomi ke arah industri bernilai tinggi.
Hasilnya melimpah kepada rakyat, warganegara Malaysia menikmati pelbagai bentuk bantuan melalui STR dan SARA, peluasan subsidi bersasar, kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 serta pelaksanaan pelarasan gaji penjawat awam.
Pendekatan ini memperlihatkan usaha kerajaan memastikan hasil pembangunan turut dirasai golongan berpendapatan rendah dan pekerja.
Bukan Anwar jika tidak menyentuh soal pendidikan dan kesihatan, di bawah pentadbiran beliau peruntukan terus disalurkan untuk menaik taraf sekolah daif, klinik kesihatan dan hospital awam.
Agenda pembangunan infrastruktur, bekalan air, elektrik serta kemudahan asas Sabah dan Sarawak turut menjadi sebahagian keutamaan pembangunan negara.
Soal hubungan antarabangsa, seantero dunia tahu kemampunan dan jaringan politik Anwar. Hikmahnya, Malaysia kembali memainkan peranan lebih aktif melalui diplomasi ekonomi, hubungan perdagangan dan pendirian dalam isu kemanusiaan, khususnya perjuangan rakyat Palestin.
Kepengerusian ASEAN pada 2025 turut membuka ruang kepada Malaysia memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju serantau.
Paling penting, agenda reformasi institusi dan tatakelola terus menjadi sebahagian daripada naratif pentadbiran. Usaha memperkukuh penguatkuasaan, membanteras rasuah, mengurangkan ketirisan dan melaksanakan subsidi bersasar merupakan antara pembaharuan yang cuba diteruskan.
Empat tahun Anwar Ibrahim menerajui negara bukan sekadar kisah seorang Perdana Menteri memegang jawatan. Ianya adalah perjalanan sebuah kerajaan yang memikul tanggungjawab memulihkan keyakinan, membina semula kekuatan ekonomi dan membawa negara ke hadapan.
Perjalanan Anwar masih panjang, pastikan berliku, beliau masih memerlukan sepenggal lagi. Berikan beliau ruang dan peluang, demi Malaysia yang lebih baik.


