
KUCHING – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak mengesahkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 sebagai tanda menghormati semangat kerjasama politik dan persefahaman yang terjalin dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Kerajaan Perpaduan.
Keputusan itu dimuktamadkan oleh Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sarawak menerusi kenyataan media bersama yang dikeluarkan pada Selasa.
Menurut kenyataan berkenaan, pendirian tersebut dibuat berasaskan prinsip kerjasama politik, semangat muafakat serta komitmen untuk memelihara kestabilan politik di peringkat negeri dan Persekutuan.
“Selaras dengan prinsip tersebut serta keputusan yang telah diputuskan oleh Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sarawak, mengumumkan ketetapan untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan bersama berkenaan dikeluarkan oleh Penasihat KEADILAN Sarawak, Datuk Seri Hafsah Harun; Naib Presiden KEADILAN Pusat, Roland Engan dan Pengerusi MPN KEADILAN Sarawak, Mahmud Epah.
Menurut kenyataan itu, keputusan tidak menyertai pilihan raya berkenaan turut mengambil kira kepentingan memperkukuh hubungan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Sarawak.
Kerjasama tersebut termasuk dalam usaha melaksanakan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), selain memastikan agenda pembangunan, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Sarawak terus diberikan perhatian.
“Pertimbangan utama yang mendasari pendirian ini adalah sebagai tanda menghormati semangat kerjasama, muafakat, dan komitmen politik dalam Kerajaan Perpaduan bagi memelihara kestabilan politik di peringkat negeri dan Persekutuan,” menurut kenyataan sama.
Dalam pada itu, MPN KEADILAN Sarawak mengarahkan seluruh jentera serta kepimpinan parti di semua peringkat supaya mematuhi dan menghormati keputusan yang telah dimuktamadkan.
Kepimpinan dan anggota parti turut diminta mengekalkan hubungan baik dengan rakan kerjasama dalam kerajaan Perpaduan, khususnya GPS.
“MPN KEADILAN Sarawak mengarahkan seluruh jentera dan pimpinan parti di semua peringkat di Sarawak agar mematuhi dan menghormati ketetapan ini serta terus menjaga hubungan baik dengan rakan-rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan khususnya GPS,” menurut kenyataan berkenaan.
Walaupun tidak menyertai PRN kali ini, KEADILAN Sarawak menegaskan komitmennya untuk terus melaksanakan tanggungjawab serta memberikan khidmat kepada masyarakat di negeri ini.
Keputusan itu menyusul selepas PKR Sarawak sebelum ini dilaporkan mengadakan rundingan pembahagian kerusi dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) menjelang PRN berkenaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 November sebagai hari penamaan calon, 8 Disember bagi pengundian awal dan 12 Disember sebagai hari pengundian PRN Sarawak ke-13.


