
PUTRAJAYA – Keputusan mengurangkan premium tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) daripada RM4.67 juta kepada RM1,000 tidak wajar dijadikan modal bagi mencetuskan persaingan antara institusi masyarakat Cina dengan institusi Islam, sebaliknya dinilai berdasarkan ketelusan dan pematuhan prosedur pentadbiran tanah.
Pemerhati politik dan undang-undang, Muhammad Safuan Solihin berkata, perbandingan antara KLSCAH dengan masjid perlu dibuat secara adil dengan mengambil kira status tanah, kategori penggunaan, syarat kelulusan serta peruntukan undang-undang yang terpakai.
Beliau menegaskan, kedua-dua institusi mempunyai fungsi dan kedudukan berbeza, apabila masjid berperanan sebagai institusi keagamaan, manakala KLSCAH merupakan pertubuhan masyarakat yang turut diiktiraf sebagai tapak warisan kebangsaan.
“Perbandingan dengan masjid perlu berasaskan kesetaraan, bukan persaingan kaum dan agama. Dakwaan bahawa KLSCAH menerima layanan lebih baik berbanding masjid juga perlu ditangani dengan cermat.
“Saya berpandangan, isu ini tidak sepatutnya dijadikan pertandingan untuk menentukan sama ada institusi Cina atau institusi Islam lebih banyak mendapat manfaat kerajaan. Kedua-duanya mempunyai kedudukan dan kemungkinan kategori penggunaan tanah yang berbeza.
“Oleh itu, perbandingan perlu dibuat berdasarkan kriteria yang setara, termasuk status tanah, kategori penggunaan, syarat kelulusan, peruntukan undang-undang dan kaedah pengiraan premium,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Selasa.
Bagaimanapun, Muhammad Safuan berpandangan, wujud keperluan untuk kerajaan tidak mengetepikan persoalan masyarakat mengenai kedudukan masjid dan institusi Islam, khususnya jika terdapat institusi yang memenuhi kriteria sama untuk dipertimbangkan bagi mendapatkan kadar premium nominal.
“Prinsipnya ialah peluang dan pertimbangan adil mesti diberikan kepada semua pihak yang memenuhi syarat, tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik. Jangan sampai isu sepatutnya membabitkan ketelusan pentadbiran tanah akhirnya mencetuskan persaingan tidak sihat antara masyarakat Melayu dan Cina,” katanya.
Beliau berkata, pembangkang atau mana-mana pihak mempunyai hak mempersoalkan keputusan kerajaan, terutama apabila wujud perbezaan ketara antara anggaran premium RM4.67 juta dengan kadar akhir RM1,000, namun kritikan perlu disokong fakta dan asas yang jelas.
Justeru, beliau menegaskan, DAP tidak boleh secara automatik dipertanggungjawabkan terhadap keputusan jawatankuasa yang bukan dipengerusikan pemimpin parti itu dan keanggotaannya juga bukan ditentukan oleh parti terbabit.
“Jika jawatankuasa yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara (KSN) membuat keputusan berdasarkan peruntukan undang-undang, maka jawatankuasa itulah yang perlu menjelaskan asas pertimbangannya.
“Peranan Hannah Yeoh yang dikatakan menyelaras penyelesaian berdasarkan arahan Perdana Menteri perlu dinilai berdasarkan tindakan sebenar, bukannya semata-mata keahlian politiknya.
Bagaimanapun, ada keperluan untuk kerajaan tetap mempunyai tanggungjawab membuktikan keputusan berkenaan dibuat mengikut prosedur, mempunyai asas perundangan yang jelas serta boleh dipertanggungjawabkan kepada rakyat,” katanya.



