
KUANTAN – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kini mencapai 99.03 peratus kemajuan pembinaan bagi fasa pertama, sekali gus menghampiri tahap siap sepenuhnya menjelang pelancaran perkhidmatan komersial pada 12 Disember depan.
Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi Malaysia Rail Link (MRL), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pembinaan jajaran fasa pertama yang menghubungkan Kota Bharu, Kelantan hingga Gombak, Selangor itu kini memasuki peringkat akhir persiapan.
“Jajaran ECRL sepanjang 258 kilometer (km) di Pahang pula mencapai kemajuan pembinaan sebanyak 99.17 peratus, setakat bulan lalu,” katanya, lapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Stesen ECRL KotaSAS, di sini, hari ini.
Majlis perasmian stesen itu disempurnakan oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; dan Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak.
Stesen KotaSAS adalah stesen pertama daripada 16 stesen di sepanjang jajaran fasa pertama ECRL yang menghubungkan Terminal Pengangkutan Bersepadu Gombak dengan Kota Bharu.
Shamsul Azri berkata, ECRL dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi Pahang menerusi peningkatan aktiviti perdagangan, pelaburan dan pelancongan, selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
“Perkhidmatan tren penumpang akan menghubungkan Kuantan dengan Gombak dalam tempoh hanya satu jam 30 minit, sekali gus mengurangkan separuh masa perjalanan berbanding hampir tiga jam menggunakan jalan raya,” katanya.
Beliau berkata, projek itu juga akan merancakkan pembangunan ekonomi menerusi Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) yang mengintegrasikan kawasan kediaman, komersial dan kemudahan awam di sekitar hab pengangkutan.
Pahang akan mempunyai tujuh stesen ECRL, dengan Stesen Cherating dan KotaSAS hanya menyediakan perkhidmatan penumpang, manakala Stesen Kuantan Port City, Paya Besar, Maran, Temerloh dan Bentong menawarkan perkhidmatan penumpang serta kargo.
Mengulas Stesen KotaSAS, Shamsul Azri berkata, kawasan seluas 15.57 hektar itu dibangunkan sebagai stesen kereta api utama Pahang dengan reka bentuk diinspirasikan daripada warisan diraja negeri berkenaan.
“Stesen ini menggabungkan elemen sepasang gading gajah bersilang yang terdapat pada jata negeri Pahang, melambangkan adat istiadat diraja serta kepentingan sejarah gajah sebagai pengangkutan istiadat bagi kerabat diraja,” katanya.
Stesen itu dilengkapi bilik tetamu kenamaan (VIP), ruang menunggu yang selesa, kuarters kakitangan, laluan pejalan kaki serta kawasan khas untuk bas dan perkhidmatan e-panggilan, selain lebih 500 ruang parkir termasuk kawasan berbumbung yang dilengkapi panel solar.
Terletak berhampiran Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah serta masjid negeri yang dijangka siap tidak lama lagi, stesen itu berpotensi menjadi hab pengangkutan utama ibu negeri selain menyokong pembangunan kawasan KotaSAS.
Projek ECRL sepanjang 665km yang merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor dijadual memulakan operasi bulan depan, dengan penjualan tiket dijangka dibuka dalam masa terdekat.
Fasa kedua projek yang melanjutkan jajaran dari Gombak ke Pelabuhan Klang pula dijangka mula beroperasi pada Januari 2028.



