
TAWAU – Tiga buah motosikal disita manakala 17 notis saman dikeluarkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menerusi Op Motosikal Bersepadu di Kilometer 40 Jalan Apas, di sini, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, operasi selama hampir empat jam bermula 8 malam itu bertujuan meningkatkan tahap pematuhan pengguna jalan raya terhadap undang-undang lalu lintas, khususnya dalam kalangan penunggang motosikal.
“Saman itu membabitkan 15 kesalahan motosikal dan dua kesalahan motokar kerana tiada lesen memandu, tidak memasang cermin sisi, aksesori kenderaan tidak sempurna, tiada nombor pendaftaran, penggunaan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi serta pengubahsuaian ekzos.
“Tiga buah motosikal turut disita disiasat mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.
Menurut Rosdi, sepanjang operasi dijalankan, pihaknya telah melakukan pemeriksaan ke atas 59 individu terdiri daripada 40 lelaki dan 19 perempuan.
“Pemeriksaan itu membabitkan 48 kenderaan iaitu 21 buah motokar, 15 motosikal, tiga kenderaan pacuan empat,masing-masing sebuah lori, van serta teksi dan enam buah kenderaan pelbagai guna (MPV),” ujarnya.
Tegas Rosdi, pihaknya tidak akan memandang ringan sebarang pelanggaran undang-undang jalan raya, khususnya pengubahsuaian kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi serta tindakan menunggang tanpa lesen memandu yang sah.
“Semua pengguna jalan raya supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, mematuhi spesifikasi yang ditetapkan dan sentiasa mempunyai lesen memandu yang sah sebelum berada di jalan raya.
“Penguatkuasaan seumpama ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi membendung kesalahan lalu lintas, meningkatkan disiplin pengguna jalan raya serta memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di daerah Tawau sentiasa terpelihara,” tegasnya.
Foto : Polis Daerah Tawau



