Wan Rosdy Wan Ismail
TEMERLOH – Kerajaan Pahang tidak pernah meminggirkan dan melupakan jasa penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di negeri itu, kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata, walaupun tiada imbuhan khusus diumumkan untuk kumpulan itu dalam Belanjawan Pahang 2027 semalam, mereka tetap menerima pelbagai inisiatif menerusi Aspirasi Pahang1st.
“Kita ada bagi (insentif) dalam bentuk lain, macam cikgu kita bagi kain batik dan (menerusi) Aspirasi Pahang1st, banyak juga kerajaan negeri sediakan.
“Dalam hal ini, kita tidak mampu nak bagi semua kepada penjawat awam (Persekutuan), jadi kita bagi BKK (Bantuan Khas Kewangan) kepada (penjawat awam) negeri sebab ini pun Belanjawan Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pahang 1st: Tawan Baung Ekor Merah di tapak pasar sehari Kuala Krau, dekat sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain.
Wan Rosdy mengulas reaksi segelintir penjawat awam Persekutuan susulan pengumuman BKK kepada penjawat awam negeri.
Ketika pembentangan Belanjawan Pahang 2027 semalam, beliau mengumumkan pemberian BKK dua bulan dan bantuan khas Aidilfitri RM1,500 kepada kira-kira 8,000 penjawat awam Pahang.
Mengulas mengenai program dirasmikan hari ini, Wan Rosdy memaklumkan kerajaan negeri memperuntukkan RM450,000 bagi menjayakan program kawalan spesies ikan baung ekor merah yang berpotensi mengancam populasi ikan tempatan di negeri ini jika tidak dibendung.
Katanya, program yang dilaksanakan serentak di tujuh lokasi seluruh negeri itu bertujuan mengurangkan populasi spesies ikan asing berkenaan.
“Kerajaan negeri sangat serius berhubung spesies ikan baung ekor merah ini kerana ia adalah spesies asing yang boleh mengancam ikan-ikan lain yang sedia ada.
“Kalau tidak dikawal, ia boleh menghapuskan spesies ikan tempatan kerana ikan ini sangat ganas dan akan memakan ikan-ikan lain, sekali gus menjadikannya dominan,” katanya.



