Harry Kane
HARRY Kane dikeluarkan lebih awal akibat kecederaan ketika Bayern Munich seri 1-1 dengan Cologne dalam aksi Bundesliga, awal pagi tadi.
Pengendali Bayern, Vincent Kompany berkata, penyerang England itu dijangka direhatkan untuk tempoh beberapa bulan, bukannya minggu.
Cologne mendahului pada minit ke-12 menerusi pemain pinjaman Tottenham Hotspur, Mikey Moore, hasil gerakan serangan balas yang dimulakan dan disudahkannya sendiri.
Bayern menyamakan kedudukan sebelum rehat menerusi jaringan Nathaniel Brown.
Kane dijatuhkan dari belakang oleh pertahanan Joel Schmied di dalam kotak penalti Cologne, namun rayuan penaltinya tidak dilayan.
Dia cuba meneruskan permainan sebelum dikeluarkan kerana berjalan tempang.
Bayern turut kehilangan Michael Olise yang terjatuh pada penghujung babak pertama dan tidak kembali beraksi selepas rehat. Pemain sayap Perancis itu dilihat meninggalkan stadium dengan menggunakan tongkat.
Cologne hampir meraih kemenangan pertama di gelanggang Bayern sejak 2009, namun percubaan El Mala ketika berdepan satu lawan satu dengan Jonas Urbig, lapan minit sebelum tamat, tersasar beberapa inci dari tiang.
Keputusan itu menyaksikan Bayern kekal sebagai satu-satunya pasukan yang belum tewas dalam semua pertandingan musim ini dalam kalangan lima liga utama Eropah.
Bagaimanapun, Borussia Dortmund yang kini hanya satu mata di belakang Bayern berpeluang merampas kedudukan teratas jika menang ketika bertandang ke Borussia Moenchengladbach, esok.
Bayern yang akan bertandang ke Lille dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah, Rabu ini, turut kehilangan Luis Diaz, Serge Gnabry, Alphonso Davies, Ismael Saibari serta kapten Manuel Neuer.


