
KOTA KINABALU – Pakatan Harapan (PH) Sabah akan mempertahankan tiga kerusi Parlimen yang dimenangi, selain meneliti beberapa kawasan berpotensi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pengerusinya, Datuk Ir. Ts. Mustapha Sakmud berkata, tiga kerusi berkenaan ialah Parlimen Sepanggar, Kota Kinabalu dan Sandakan.
“Memang keputusan asas kita akan pertahankan tiga kerusi yang kita menangi iaitu Parlimen Sepanggar, Parlimen Kota Kinabalu dan juga Parlimen Sandakan.
“PH Sabah turut meneliti beberapa kerusi lain yang berpotensi untuk ditandingi tanpa menjejaskan kerjasama dengan rakan komponen dalam kerajaan negeri,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat PH Sabah di sini, pada Jumaat.
Katanya, kerusi berpotensi itu akan dibawa ke proses rundingan dengan mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dengan PH.
Ketika ditanya mengenai kawasan yang sedang diteliti, Mustapha beri gambaran antara pilihannya ialah kerusi Parlimen yang tidak dimiliki Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Mengulas lanjut mengenai kerjasama menghadapi PRU16, beliau berkata, perbincangan rasmi antara PH Sabah dan GRS belum diadakan, namun perbincangan tidak rasmi sudah berlangsung.
“Secara rasmi belum lagi, cuma ada perbincangan tidak rasmi.
“Antara kawasan yang diteliti mungkin kerusi yang tidak dimiliki oleh GRS. Itu sajalah,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mustapha berkata, setiap parti sudah menyediakan jentera masing-masing dan usaha kini tertumpu kepada penyelarasan bagi memperkukuh persiapan menghadapi pilihan raya.
“PH Sabah membuat persiapan berdasarkan perancangan untuk tempoh kira-kira setahun, namun tidak dapat memastikan bila Parlimen akan dibubarkan kerana perkara itu bergantung kepada keputusan Perdana Menteri,” tambahnya.



