
KOTA KINABALU – Pakatan Harapan (PH) Sabah mahu Kerajaan Persekutuan menyegerakan pindaan Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan bagi menambah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak pada sidang Parlimen tahun hadapan.
Pengerusi PH Sabah, Datuk Ir. Ts. Mustapha Sakmud berkata, berdasarkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), satu pertiga daripada kerusi Parlimen sepatutnya diberikan kepada Sabah dan Sarawak selepas Singapura tidak lagi menjadi sebahagian daripada Malaysia.
“Pindaan Perlembagaan itu perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan kajian lanjut berkaitan persempadanan kawasan pilihan raya berdasarkan kriteria yang ditetapkan.
“Jadi kita mahu supaya kerajaan pusat menyegerakan pindaan ini, Perkara 46, pada jadual sidang Parlimen untuk tahun hadapan,” katanya semasa sidang media selepas Mesyuarat PH Sabah, di sini, pada Jumaat.
Mustapha berkata, beliau bersama Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak sebelum ini sudah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi SPR serta pasukannya bagi membincangkan perkara berkenaan.
Menurutnya, walaupun terdapat pandangan daripada pihak SPR, semangat MA63 perlu terus dipertahankan bagi memastikan Sabah dan Sarawak mempunyai perwakilan mencukupi di Dewan Parlimen.
Jelasnya,kedudukan itu penting bagi membolehkan suara wilayah Borneo diwakili dengan sewajarnya dalam menyampaikan pandangan serta mempertahankan kepentingan kedua-dua negeri di peringkat persekutuan.
“Jadi kita mahu supaya suara Borneo ini mencukupi untuk kita memberi pandangan kita di Dewan Parlimen.
“Perjuangan berkenaan merupakan asas pembentukan Malaysia yang perlu terus dipertahankan bagi memastikan kepentingan Sabah dan Sarawak terpelihara,” ujarnya.


