PUTRAJAYA – Parti Bersama Malaysia (Bersama) pimpinan Datuk Seri Rafizi Ramli wajar dibubarkan selepas mempamerkan prestasi hambar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka apabila hanya memperoleh 4.3 peratus undi popular berbanding sasaran 15 peratus.
Pengasas PKR, Ng Lum Yong berkata, pembubaran parti Kancil penting selepas mengukur tahap penerimaan pengundi terhadap ideologi dan perjuangan parti Kancil yang sangat lemah selepas 15 daripada 16 calon parti Kancil yang hilang deposit.
“Tutup kedai adalah jalan terbaik buat parti Kancil (Bersama), bubar sahaja parti tersebut dengan berlandaskan keputusan dua PRN yang lalu.
“Ia bagi mengelakkan pembaziran wang, tenaga calon dan sukarelawan yang berjuang untuk sesuatu yang ditolak secara majoriti oleh rakyat Melaka dan bakal berdepan nasib yang sama di mana-mana negeri lain selepas ini,” katanya menerusi kenyataan, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Lum Yong turut berkata, pembubaran Bersama juga akan membuka ruang kepada penyokong parti berkenaan untuk kembali menyertai PH dan memperjuangkan agenda reformasi dari dalam.

“Pastinya menuntut agenda reformasi dilaksanakan dari dalam adalah lebih berkesan daripada menjerit-jerit di luar dan dianggap musuh kepada PH, jika mereka benar-benar sayang dan mahu laksanakan agenda reformasi,” katanya.
Sebelum ini, Bersama hanya mencatat prestasi hambar apabila 30 daripada 31 calonnya kehilangan wang deposit dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka, baru-baru ini.
Pada PRN Johor, kesemua 15 calon Bersama hilang deposit, manakala di Melaka, 15 daripada 16 calon mengalami nasib sama.
Hanya calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Dr Muhammad Solehin Saleh berjaya mengekalkan deposit selepas memperoleh 4,140 undi, sekali gus memperlihatkan kesukaran parti itu mendapat sokongan pengundi.
Terdahulu, bekas Ketua DAP Melaka, Damian Yeo berkata, ahli Bersama digesa kembali menyertai Pakatan Harapan (PH) bagi mengelakkan perpecahan politik terus melemahkan agenda reformasi Kerajaan Madani.
Damian Yeo berkata, PH sudah melalui perjuangan panjang serta membuat pelbagai pengorbanan yang tidak sepatutnya disia-siakan akibat perpecahan, meskipun perbezaan pendapat tidak dapat dielakkan.
