
PENDEDAHAN Minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang membincangkan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, memberi ruang kepada masyarakat memahami pendirian setiap pihak serta persoalan perundangan berhubung pelaksanaan tahanan rumah.
Aktivis politik yang juga bekas Peguam Kanan Persekutuan, Jabatan Peguam Negara, Liyana Marzuki berkata, pendedahan itu membolehkan orang ramai meneliti pendirian wakil kerajaan dalam mesyuarat berkenaan, termasuk bantahan terhadap pelaksanaan tahanan rumah.
Beliau berkata, isu pengampunan berkenaan juga perlu diperhalusi dari sudut skop kuasa Yang di-Pertuan Agong, khususnya sama ada kuasa meringankan hukuman turut merangkumi kaedah pelaksanaan hukuman yang belum diperuntukkan secara khusus dalam undang-undang.
“Untuk senang hadam, sis ringkaskan. Kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong termasuk melegakan hukuman.
“Isunya, adakah melegakan hukuman itu termasuk tahanan rumah yang undang-undangnya belum pernah ada?” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Liyana berkata, persoalan utama yang perlu diperjelaskan ialah sama ada kuasa pengampunan diraja membolehkan pelaksanaan bentuk hukuman lebih ringan yang tidak termaktub dalam undang-undang.
“Adakah ini bermaksud Yang di-Pertuan Agong dalam memberi kelegaan hukuman boleh menetapkan mana-mana hukuman lebih ringan hatta yang tidak termaktub dalam undang-undang?
“Contoh selain tahanan rumah. Bolehkah Yang di-Pertuan Agong menetapkan pesalah boleh diampun dan tinggal di istana? Atau boleh jalani hukuman di luar negara?
“Tiada undang-undang yang menetapkan atau menghalangnya. Inilah isu yang mahkamah perlu perhalusi,” katanya.
Menurutnya, persoalan itu juga penting bagi menentukan sama ada budi bicara kuasa pengampunan tertakluk kepada peruntukan undang-undang sedia ada atau mempunyai ruang tafsiran lebih luas.
Beliau turut merujuk keputusan mahkamah terdahulu berhubung permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah berdasarkan titah tambahan pengampunan, yang ditolak atas alasan tiada peruntukan undang-undang khusus bagi membolehkan mekanisme berkenaan dilaksanakan.
“Untuk rekod, dalam kes pengampunan Diraja Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah, tahanan rumah DSNR ditolak oleh mahkamah kerana tiada peruntukan undang-undang. Keputusan ini peguam DSNR tidak buat rayuan, maka nas undang-undangnya masih kekal,” katanya.
Mengulas reaksi masyarakat terhadap perkembangan itu, Liyana berkata, penyokong UMNO mungkin berasa lega susulan pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib, manakala penyokong Pakatan Harapan (PH) pula melihat pendedahan minit mesyuarat sebagai penjelasan bahawa wakil kerajaan menentang cadangan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata, tindakan Badan Peguam mencabar keputusan berkaitan pengampunan itu melalui proses mahkamah menunjukkan masih terdapat persoalan perundangan yang perlu diperhalusi.
“Apa pun, keputusan tahanan rumah ini masih belum lega sepenuhnya. Kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong ini masih boleh diuji di mahkamah. Panjang lagi cabarannya,” katanya.
Beliau berkata, penelitian melalui saluran perundangan penting bagi memastikan institusi negara terus terpelihara dan prinsip Raja Berperlembagaan dihormati.
“Kita sebagai pengundi hanya boleh tarik nafas lega bila kita yakin institusi dalam negara masih terjaga.
“Untuk memastikan ‘no one is above the law’. Hatta seorang Raja. Itu maknanya Raja Berperlembagaan. Bila kepentingan negara diletakkan mengatasi kepentingan mana-mana parti atau personaliti. Moga lebih terjaga ibu pertiwi untuk cucu cicit kita nanti,” katanya.



