PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu menjelaskan dakwaan kemungkinan wujud penglibatan parti itu dalam percaturan politik untuk menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir daripada takhta.
Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, penjelasan itu penting susulan kenyataan anak bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, bahawa bapanya hanya mematuhi arahan parti sebelum akhirnya dijadikan seolah-olah kambing hitam.
Beliau mempersoalkan pihak yang memberikan arahan kepada Ismail sekiranya benar bekas Menteri Besar itu bertindak mengikut kehendak parti.
“Saya ingin bertanya kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Jika benar Ismail bertindak mengikut arahan parti, siapakah yang memberikan arahan tersebut? Apakah pendirian sebenar UMNO terhadap usaha menurunkan Tuanku Muhriz daripada takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan?” katanya dalam kenyataan.
Mahfuz berkata, Ismail bukan pemimpin yang muncul sendiri sebagai Menteri Besar, sebaliknya calon yang diangkat kepimpinan UMNO, justeru parti itu perlu menjelaskan sejauh mana kepimpinannya mengetahui atau terbabit dalam keputusan politik berkenaan.
“Jika UMNO tidak terlibat, nyatakan dengan jelas. Jika ada pemimpin atau pihak tertentu yang terlibat, jelaskan peranan mereka. Jangan biarkan rakyat terus tertanya-tanya,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan konsistensi pendirian UMNO yang selama ini sering meletakkan parti itu sebagai antara pihak yang mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu, sedangkan krisis di Negeri Sembilan menimbulkan persoalan serius mengenai perkara berkenaan.
Katanya, UMNO perlu menjelaskan alasan politik di sebalik tindakan mempertikaikan kedudukan Tuanku Muhriz, termasuk pihak yang mendapat manfaat daripada percaturan berkenaan.
“Ini bukan persoalan kecil. Ini soal institusi Raja, adat dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan,” katanya.
Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, penarikan balik surat berkaitan kedudukan Tuanku Muhriz dan peletakan jawatan Ismail tidak seharusnya menamatkan persoalan mengenai pihak yang bertanggungjawab mencetuskan krisis itu.
Malah, beliau turut meminta Zahid memberikan jaminan bahawa calon Menteri Besar baharu yang bakal dikemukakan tidak akan mengulangi tindakan sama atau dipengaruhi mana-mana pihak untuk mencabar kedudukan Tuanku Muhriz.
“Apakah jaminan calon baharu yang dipilih Zahid tidak akan mengulangi tindakan yang sama? Apakah jaminan beliau tidak akan dipengaruhi atau ditekan oleh mana-mana pihak untuk mencabar kedudukan Tuanku Muhriz sekali lagi?” soalnya.
Beliau berkata, calon baharu itu perlu mempunyai pendirian jelas bahawa kedudukan Yang di-Pertuan Besar bukan bahan percaturan politik atau taruhan dalam perebutan kuasa.
“Jangan jadikan Ismail kambing hitam jika keputusan yang membawa kepada krisis ini turut melibatkan percaturan dan kepimpinan parti UMNO. Jangan hanya berani mengangkat calon, tetapi tidak berani menjawab apabila tindakan calon itu menimbulkan krisis,” katanya.
Mahfuz sekali lagi menggesa Zahid menjawab sama ada UMNO atau pemimpin parti itu mempunyai peranan dalam percaturan untuk menurunkan Tuanku Muhriz daripada takhta.
“Jika ya, jelaskan. Jika tidak, siapa yang bertanggungjawab?” katanya.
Beliau menegaskan, rakyat Negeri Sembilan berhak mengetahui bagaimana krisis berkenaan boleh berlaku, selain mendapatkan jaminan bahawa perkara sama tidak akan berulang.
“Jangan tutup satu krisis dengan menukar Menteri Besar, sedangkan persoalan siapa yang mencetuskan krisis itu masih belum dijawab,” katanya.

