
KETIDAKSETUJUAN Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh dalam Lembaga Pengampunan tidak boleh ditafsirkan sebagai tindakan menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), kata peguam, Datuk Zainul Rijal Abdul Hamid.
Beliau berkata, kedua-dua individu berkenaan dijemput oleh YDPA untuk memberikan pandangan, justeru perbezaan pendapat termasuk ketidaksetujuan terhadap sesuatu cadangan merupakan sebahagian daripada tanggungjawab mereka sebagai anggota lembaga.

“Berdasarkan minit mesyuarat yang tular, saya berpandangan bahawa ketidaksetujuan Peguam Negara dan Menteri Wilayah Persekutuan dalam Lembaga Pengampunan tidak boleh ditafsirkan sebagai suatu penderhakaan.
“Pada masa yang sama, perlu difahami bahawa kuasa pengampunan merupakan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
“Berdasarkan prinsip undang-undang dan penghakiman mahkamah yang berkaitan, kuasa tersebut tidak semestinya tertakluk kepada keputusan majoriti atau undian anggota Lembaga Pengampunan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Menurutnya, pandangan anggota lembaga perlu dipertimbangkan, tetapi keputusan pelaksanaan kuasa pengampunan adalah dalam ruang prerogatif YDPA.
Malah, katanya persoalan mengenai pelaksanaan kuasa prerogatif ini turut melibatkan prinsip ‘non-justiciability’, iaitu had campur tangan mahkamah dalam perkara tertentu berkaitan budi bicara pengampunan.
Terdahulu, beberapa muka surat kandungan minit mesyuarat itu dikongsi oleh bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua menerusi akaun Facebook semalam.
Menurut minit berkenaan, Mohd Dusuki berpendapat bahawa bekas perdana menteri itu perlu menjalani hukuman banduan sehingga 2028 sebagaimana pandangan sebelum ini.
Hukuman tahanan rumah tidak terdapat dalam undang-undang dan merupakan suatu perkara yang asing dan bukan dalam sistem negara kita sebagaimana keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Alice Loke, sebelum ini.
Beliau menyatakan bahawa keputusan itu akan memberi kesan kepada kerajaan khususnya kestabilan politik, ekonomi, pelaburan dan imej negara di peringkat antarabangsa.
Menurut minit mesyuarat itu, Hannah menyatakan bahawa pandangan beliau sama seperti pandangan Mohd Dusuki dan juga dalam mesyuarat sebelum ini.



