PUTRAJAYA – Kemelut peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, membuka ‘pekung di dada’ bahawa UMNO lebih cenderung mendahulukan percaturan politik parti sehingga mengetepikan keputusan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Pemerhati politik dan undang-undang, Muhammad Safuan Solihin berkata, tindakan berkenaan bukan sahaja menimbulkan persoalan dari sudut tatakelola politik, malah boleh mencetuskan persepsi bahawa UMNO dan BN cuba mendahului proses perlembagaan yang sepatutnya dihormati semua pihak.
Menurut beliau, parti politik tidak mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan kedudukan seseorang Menteri Besar kerana perkara itu tertakluk kepada peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri serta peranan Yang di-Pertuan Besar.
“BN dan UMNO perlu memahami bahawa kuasa politik sesebuah parti tidak bermaksud parti boleh bertindak seolah-olah mempunyai kuasa mutlak menentukan kedudukan seseorang Menteri Besar.
“Dalam konteks Negeri Sembilan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri dengan jelas memperuntukkan bahawa peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar.
“Persoalannya, mengapa BN begitu tergesa-gesa mengumumkan keputusan yang sepatutnya terlebih dahulu disahkan melalui saluran rasmi Istana? Apakah keperluan untuk mendahului proses tersebut sedangkan kedudukan Menteri Besar bukan semata-mata ditentukan oleh keputusan dalaman parti,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.
Malah, Muhammad Safuan berkata, tindakan mengumumkan peletakan jawatan sebelum pengesahan Istana menimbulkan persepsi BN cuba membentuk gambaran bahawa keputusan sudah muktamad, sedangkan proses perlembagaan masih belum selesai.
Apa yang lebih janggal, katanya, Istana Negeri sembilan mendedahkan bahawa perkenan untuk Ismail menghadap Tuanku Muhriz sudah dimaklumkan pada jam 8.38 malam, iaitu 80 minit sebelum Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengumumkan peletakan jawatan itu pada jam 10 malam.
“Perincian masa ini menimbulkan persoalan besar tentang komunikasi antara kepimpinan parti dengan Menteri Besar sendiri. Adakah kepimpinan BN mengetahui perkembangan permohonan menghadap tersebut? Jika ya, mengapa pengumuman peletakan jawatan tetap dibuat sebelum Ismail menghadap Yang di-Pertuan Besar?
“Kenyataan Naim Ismail tidak boleh dipandang ringan. Walaupun bukan pengesahan muktamad bahawa Ismail tidak meletakkan jawatan, persoalan dibangkitkan anaknya menunjukkan wujudnya jurang komunikasi yang perlu dijelaskan secara terbuka oleh pihak berkaitan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga perlu memberikan penjelasan lebih terperinci mengenai asas penerimaan salinan surat itu selain menerangkan langkah mengumumkannya sebelum pengesahan rasmi Istana diperoleh.
“Ini kerana sekiranya benar Ismail sendiri membuat keputusan berundur, perkara itu sewajarnya dijelaskan secara langsung oleh beliau bagi mengelakkan timbulnya pelbagai tafsiran.
“Sebaliknya, apabila pengumuman dibuat oleh pemimpin parti dan bukannya tuan punya badan, persoalan mengenai ketulenan keputusan serta proses yang mendahuluinya tidak dapat dielakkan,” katanya.
Tambahnya, konflik itu bukan sekadar siapa bakal menggantikan Ismail sebagai Menteri Besar, namun ia telay menyentuh soal disiplin politik, akauntabiliti kepimpinan parti dan penghormatan terhadap institusi Raja.
“BN dan UMNO seharusnya memberikan ruang kepada Istana menyelesaikan perkara ini mengikut lunas perlembagaan, bukannya mewujudkan keadaan seolah-olah keputusan politik sudah dimuktamadkan sebelum proses berkenaan selesai.
“Dalam sistem Raja Berperlembagaan, parti politik boleh mengemukakan cadangan dan mempunyai kepentingan dalam menentukan sokongan majoriti, tetapi proses perlembagaan tetap perlu dihormati.
“Jangan sampai percaturan politik kepartian menimbulkan kekeliruan terhadap kedudukan institusi yang mempunyai peranan tersendiri dalam menentukan kepimpinan negeri,” katanya.

