
KUALA LUMPUR – Tiada konflik kepentingan dalam penganugerahan kontrak pembangunan platform digital THiJARI bernilai RM4.53 juta kepada Cyber Village Sdn Bhd pada 2019.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, kontrak berkenaan diberikan menerusi proses tender yang melibatkan enam vendor serta mematuhi peraturan perolehan Lembaga Tabung Haji (TH).
Menurutnya, pemilik dan pengarah Cyber Village Sdn Bhd tidak mempunyai sebarang hubungan dengan kepimpinan TH, sekali gus menafikan dakwaan wujudnya konflik kepentingan dalam penganugerahan kontrak itu.
“Dalam hal ini, tiada konflik kepentingan dalam penganugerahan kontrak kepada syarikat Cyber Village Sdn Bhd kerana pemilik atau pengarah syarikat tersebut tiada hubung kait dengan kepimpinan TH dan terpilih melalui tender dengan kos projek yang paling kompetitif,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen.

Zulkifli menjawab soalan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) yang meminta penjelasan sama ada TH menjalankan semakan konflik kepentingan berhubung kontrak berkenaan serta sama ada hasil semakan itu pernah diaudit atau dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Mengulas lanjut, beliau berkata semakan terhadap profil pegangan syarikat turut dilaksanakan dalam proses perolehan bagi mengelakkan sebarang konflik kepentingan.
Katanya, kontrak pembangunan sistem THiJARI diberikan kepada Cyber Village berdasarkan penilaian teknikal dan merit yang memenuhi keperluan TH, selain menawarkan kos projek paling kompetitif.
Platform THiJARI dibangunkan sebagai sebahagian daripada usaha TH menambah baik penyampaian perkhidmatan menerusi aplikasi digital dan platform dalam talian yang mula dimanfaatkan majoriti pendeposit sejak 2020.


