
PUTRAJAYA – Kerajaan memperkukuh keselamatan infrastruktur digital negara, termasuk mempercepatkan peralihan kepada sistem komunikasi selamat berasaskan kuantum.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, teknologi penyulitan kuantum (quantum encryption) berupaya menyukarkan pihak tidak bertanggungjawab menggodam serta mencuri data menerusi saluran komunikasi.
Hal ini susulan dakwaan mengenai kebocoran data rakyat Malaysia yang tersebar menerusi beberapa laman sesawang dark web masih belum dapat disahkan, termasuk kemungkinan data yang didakwa dicuri itu merupakan maklumat lama.
“Setakat hari ini tidak ada apa-apa ancaman yang terlalu besar sehingga mengakibatkan data rakyat terkesan ataupun dicuri pada waktu ini.
“Ada beberapa pihak yang membuat dakwaan dalam beberapa laman dark web yang mengatakan data rakyat Malaysia telah dicuri daripada sekian-sekian tempat, tapi tidak boleh disahkan. Kadang-kadang ia adalah data lama yang telah berlaku, tidak ada setakat ini insiden yang dilaporkan oleh pihak NACSA (Agensi Keselamatan Siber Negara),” katanya, seperti dilaporkan berita tempatan.

Sehubungan itu, beliau meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), NACSA serta syarikat telekomunikasi dan pengendali gentian optik mengadakan perbincangan bagi mengenal pasti langkah yang diperlukan untuk memastikan keselamatan infrastruktur komunikasi negara.
“Pihak Nacsa dan Pusat Pembangunan Keselamatan Siber dan Kriptologi di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga telah menyediakan Pelan Migrasi Kuantum (Quantum Migration Plan), satu perancangan penghijrahan kuantum bagi semua agensi kerajaan dan semua infrastruktur penting negara dan ini akan dilaksana oleh CSCDC dan juga NACSA,” katanya.
Mengulas ancaman penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), beliau berkata antara risiko yang membimbangkan ialah penggunaan ejen AI untuk melaksanakan serangan siber secara berkelompok atau swarm cyber security attack.
Katanya, ancaman seumpama itu telah dikesan di beberapa negara lain dan memerlukan pemantauan rapi bagi memastikan keselamatan agensi serta infrastruktur digital negara terus terpelihara.
“Dan semestinya bagi Malaysia, pihak bertanggungjawab iaitu NACSA akan membuat pemantauan dan sekiranya berlaku satu keadaan ancaman itu semakin dekat atau mula mengancam keselamatan siber agensi dan infrastruktur digital dalam negara, kita akan ambil tindakan untuk jamin keselamatan itu,” katanya.


