
KUALA KANGSAR – Seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di daerah ini ditemukan meninggal dunia dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, pada Rabu.
Mangsa dilaporkan ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan bangunan sekolah berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan bahawa kenyataan lanjut akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
“Kenyataan lanjut berhubung insiden itu akan dikeluarkan menerusi satu kenyataan media dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi.
Difahamkan, mayat mangsa dibawa ke Hospital Taiping bagi menjalani bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu ketika menghadiri mesyuarat di Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah, Seri Iskandar.
Beliau berkata, sejurus menerima maklumat berkenaan, beliau meninggalkan mesyuarat itu sebelum bergegas ke lokasi kejadian untuk meninjau sendiri situasi yang berlaku.
“Saya sudah meminta pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Kangsar dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak menyediakan laporan penuh berhubung insiden berkenaan,” katanya menerusi kenyataan di laman sosial miliknya pada Rabu.
Bagaimanapun, beliau memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai kejadian itu bagi menghormati keluarga mangsa serta proses undang-undang yang sedang berjalan.
Dalam kenyataan sama, beliau turut mewakili Kerajaan Negeri Perak menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa atas kehilangan tersebut.
Siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih dijalankan pihak polis.

