
LAWAS – Sarawak memperuntukkan RM8.1 bilion bagi menaik taraf sistem bekalan air di seluruh negeri dalam tempoh lima tahun akan datang, termasuk pembinaan loji rawatan baharu, peningkatan kapasiti kemudahan sedia ada dan penggantian paip lama.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, peruntukan itu bertujuan memperkukuh infrastruktur bekalan air bagi memastikan rakyat menikmati kemudahan asas yang lebih stabil dan menyeluruh.
Menurutnya, pelaksanaan projek berkenaan turut disokong oleh peningkatan keupayaan kewangan kerajaan negeri, termasuk hasil daripada kenaikan kadar royalti air daripada 2.5 sen kepada lima sen.
“ Peningkatan kadar tersebut membolehkan Sarawak menjana hasil sekitar RM1.3 bilion setahun bagi membantu membiayai pembangunan infrastruktur negeri,” ujarnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Loji Rawatan Air (LRA) Trusan Baharu dan simbolik pelancaran Sambungan Grid 275kV ke Lawas dan Limbang, pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa peruntukan besar perlu disertai perancangan dan pelaksanaan projek yang teliti bagi memastikan kemudahan dibangunkan dapat berfungsi secara berkesan.
Katanya, reka bentuk sistem pengambilan air mentah atau muka sauk perlu mengambil kira keadaan sungai, aliran air dan faktor hujan bagi mengelakkan gangguan operasi akibat timbunan sisa kayu, pasir serta mendapan.
Sehubungan itu, beliau mahu jurutera meneliti kedudukan muka sauk, termasuk kesesuaian menempatkannya berhampiran aliran utama sungai supaya bekalan air mentah kepada loji rawatan tidak mudah terganggu.

Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pembinaan LRA Trusan Baharu dan LRA Pengalih Lakutan penting bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran serta mengurangkan kebergantungan kepada kemudahan bekalan air sedia ada di Lawas.
Menurutnya, penambahbaikan sistem pengagihan juga perlu diberikan perhatian bagi memastikan peningkatan kapasiti pengeluaran air dapat dimanfaatkan penduduk, khususnya di kawasan luar bandar.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, projek LRA Trusan Baharu bernilai RM236.38 juta melibatkan tambahan kapasiti pengeluaran sebanyak 50 juta liter sehari (JLH).
Sementara itu, LRA Pengalih Lakutan bernilai RM160.69 juta dibangunkan dengan kapasiti awal 20 juta liter sehari dan berpotensi ditingkatkan kepada 60 juta liter sehari bagi memenuhi permintaan masa hadapan.
“Kerajaan negeri turut melaksanakan Program Penggantian Paip Air Lama dan Uzur bernilai RM1.1 bilion membabitkan rangkaian sepanjang 2,740 kilometer di seluruh Sarawak,” jelas beliau.
Program itu bertujuan meningkatkan kecekapan pengagihan serta mengurangkan kehilangan air tidak berhasil akibat kebocoran dan kerosakan saluran paip lama.
Pada masa sama, pembangunan Sistem Grid Bekalan Air Sarawak turut melibatkan 32 loji rawatan air utama dan rangkaian saluran paip sepanjang 2,934 kilometer bagi memperkukuh keterjaminan bekalan air jangka panjang.
Julaihi berkata, liputan bekalan air di Lawas kini mencapai 76 peratus, manakala Limbang mencatatkan 75 peratus berbanding kadar keseluruhan Sarawak sebanyak 86.1 peratus.
Bagi kawasan pedalaman yang sukar dihubungkan dengan rangkaian paip utama, kerajaan negeri turut meneruskan pelaksanaan Sistem Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) bagi memperluas akses kepada kemudahan bekalan air bersih.
Pelaksanaan pelbagai projek itu dijangka dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran dan kecekapan pengagihan air terawat, sekali gus membantu menangani masalah gangguan bekalan yang dihadapi penduduk.



