
KUALA LUMPUR – Perdana Menter, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan segera berhubung kematian seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah berasrama penuh di Perak pada Rabu.
Beliau berkata, tiada sebarang aspek kejadian itu harus diketepikan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden berkenaan, selain memastikan keadilan dapat ditegakkan.
“Semoga keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat yang amat sukar ini.
“Saya telah meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan segera bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Tiada sebarang aspek harus diketepikan agar keadilan dapat ditegakkan dan kejadian seumpama ini dapat dicegah daripada berulang,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak berkata, pihaknya sedang memantau perkembangan insiden itu secara dekat dan telah mengarahkan pihak sekolah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis bagi membantu siasatan.
Menurut kenyataan itu, pihaknya turut menyelaras penyediaan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling serta sokongan psikososial kepada pelajar, guru dan warga sekolah yang terkesan.
Dalam masa sama, semua pihak diminta menghormati privasi keluarga mangsa serta tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, khususnya menerusi media sosial.
Media sebelum ini melaporkan seorang pelajar sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar ditemukan meninggal dunia di kawasan sekolah berkenaan.

