
LAWAS – Pembinaan Jambatan Bandar Lawas bernilai RM149.86 juta bakal memperkukuh jaringan perhubungan penduduk, sekali gus menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi, pelancongan dan infrastruktur di kawasan utara Sarawak.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, jambatan berkenaan bukan sekadar menyediakan kemudahan pengangkutan, malah menjadi mercu tanda baharu yang mencerminkan identiti, perpaduan dan keharmonian masyarakat Lawas.
Menurutnya, keunikan reka bentuk jambatan itu turut berpotensi menjadi tarikan pelancongan berdasarkan seni bina tersendiri yang disifatkannya setanding dengan beberapa jambatan ikonik di Eropah.
“Jambatan ini mempunyai reka bentuk yang sangat berbeza dan cantik. Ia bukan sekadar kemudahan perhubungan, tetapi menjadi simbol perpaduan serta kemesraan masyarakat Lawas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jambatan Bandar Lawas di Jalan Utama berhadapan CENTEXS Lawas, pada Rabu.
Abang Johari berkata, pembangunan jambatan itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan Sarawak memperkukuh jaringan infrastruktur melalui pembinaan 22 jambatan dalam tempoh enam tahun bagi meningkatkan akses dan kemudahan perhubungan penduduk.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan persetujuan secara prinsip terhadap cadangan pembangunan Lawas Waterfront yang berkonsepkan pembangunan Tebingan Sungai Darul Hana di Kuching.
Cadangan tersebut dilihat berpotensi memperkukuh sektor pelancongan, selain menyediakan ruang bagi pembangunan aktiviti ekonomi dan rekreasi baharu di kawasan berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pembinaan Jambatan Bandar Lawas merupakan sebahagian daripada projek pembangunan yang dilaksanakan menerusi peruntukan RM1.5 bilion Kerajaan Sarawak kepada Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA).
Menurutnya, jambatan berkenaan akan meningkatkan kesalinghubungan antara pusat bandar Lawas dengan beberapa kawasan penempatan di seberang sungai, sekali gus memudahkan pergerakan penduduk.
“Jambatan ini akan menghubungkan pusat bandar Lawas dengan kawasan Seberang Kedai, termasuk Kampung Ladang, Karangan dan Luputan, sekali gus memudahkan pergerakan penduduk serta membuka ruang kepada pembangunan kawasan berkenaan,” katanya.

Awang Tengah berkata, Pelan Induk dan Pelan Tempatan Limbang serta Lawas 2035 turut menjalani semakan semula bagi mengambil kira keperluan peluasan bandar susulan pembangunan infrastruktur baharu.
Menurutnya, usaha meningkatkan jaringan pengangkutan di kawasan utara Sarawak turut diperkukuh menerusi projek Lebuhraya Sabah-Sarawak (SSLR), dengan Pakej 1 dari Lawas ke Long Lopeng mencatatkan kemajuan hampir 80 peratus.
Beliau berkata, pelaksanaan Lebuhraya Pesisir Utara (NCH) yang merangkumi lima pakej, masing-masing tiga di Limbang dan dua di Lawas, turut menjadi sebahagian daripada perancangan pembangunan jaringan jalan raya.
Selain itu, dua lagi jambatan di Trusan dan Kuala Lawas turut dirancang bagi melengkapkan kemudahan perhubungan serta menyokong pembangunan kawasan berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Awang Tengah berkata, pembangunan infrastruktur wilayah utara turut merangkumi pembinaan Lapangan Terbang Baharu Lawas dengan landasan sepanjang 2,500 meter.
Katanya, perancangan menaik taraf kemudahan jeti kepada sebuah pelabuhan laut dalam juga dilihat berpotensi menyokong pertumbuhan sektor perdagangan dan perindustrian di kawasan itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), Datuk Ismawi Ismuni berkata, Jambatan Bandar Lawas mempunyai panjang keseluruhan 642 meter dan dibina menggunakan kaedah struktur julur seimbang.
Menurutnya, jambatan tersebut dilengkapi empat menara gerbang setinggi 44.3 meter setiap satu, selain kabel hiasan dengan sistem pencahayaan diod pemancar cahaya (LED) yang menyerlahkan reka bentuknya.
“Projek ini berjaya memperoleh Sijil Siap Kerja (CPC) pada 15 Oktober 2026, lebih tiga bulan awal daripada jadual asal walaupun berdepan cabaran pergerakan tanah yang memerlukan penelitian semula struktur bersama pakar geologi,” katanya.
Jambatan Bandar Lawas turut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori The Longest Decorative Cable Structure Installed on a Balanced Cantilever Bridge in Malaysia.
Pembinaan jambatan berkenaan dijangka meningkatkan kemudahan perhubungan dan menyokong perancangan pembangunan jangka panjang, sekali gus membuka peluang ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat di kawasan utara Sarawak.



