
KUALA LUMPUR – Kerajaan menyasarkan 30,000 unit pengecas kenderaan elektrik (EV) awam menjelang 2030, termasuk di pekan kecil dan luar bandar.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, sebanyak 7,341 unit telah dipasang di seluruh negara setakat 30 September lalu.
“Kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada aspek taburan dan aksesibiliti infrastruktur ini bagi memastikan pembangunan kemudahan pengecas EV ini tidak hanya tertumpu di kawasan bandar utama, malah turut diperluas ke kawasan pekan kecil dan luar bandar berdasarkan keperluan tempatan,” katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (BN-Sembrong) yang ingin mengetahui langkah kerajaan menangani jurang penyediaan kemudahan pengecasan EV antara lebuh raya utama dengan kawasan luar bandar.
Mengulas lanjut, Sim berkata kerajaan turut meneliti beberapa pendekatan bagi mempercepat pembangunan infrastruktur berkenaan, termasuk cadangan berkaitan levi EV yang masih dalam peringkat kajian.
Usaha itu akan diperkukuh melalui penyelarasan antara agensi kerajaan dengan peneraju industri bagi memastikan sasaran unit pengecas EV menjelang 2030 dapat dicapai.


