Pep Guardiola
PERSEKUTUAN Bolasepak Amerika Syarikat (USSF) mempertimbangkan Pep Guardiola sebagai calon utama untuk membimbing pasukan kebangsaan Amerika Syarikat (AS) sekiranya Mauricio Pochettino berhijrah ke Manchester United.
Perbincangan dalaman itu didedahkan The Athletic susulan laporan Pochettino semakin hampir mencapai persetujuan untuk kembali ke England bagi menggantikan Michael Carrick di Old Trafford.
Bagaimanapun, usaha memujuk Guardiola disifatkan sukar kerana pengendali Manchester City itu tidak bercadang kembali melatih dalam masa terdekat selepas meninggalkan kelab berkenaan pada penghujung Mei 2026.
Guardiola sebelum ini turut menolak tawaran mengendalikan Itali walaupun Pengarah Teknikal Persekutuan Bolasepak Itali ketika itu, Paolo Maldini, bersama penasihatnya, Leonardo, sanggup terbang ke Barcelona untuk bertemu beliau secara tertutup.
Namun, Guardiola pernah beberapa kali mengadakan perbincangan dengan USSF dan sejak sekian lama tertarik dengan idea bekerja di AS.
Beliau pernah menetap selama setahun di New York selepas meninggalkan Barcelona pada 2012.
“Amerika Syarikat adalah persekitaran ideal untuk membina projek jangka panjang dan membawa pasukan kebangsaan ke tahap lebih tinggi,” kata Guardiola pada 2024, ketika Pochettino dilantik sebagai ketua jurulatih AS.
“Potensi bola sepak Amerika sangat besar kerana mempunyai jumlah penduduk yang ramai serta asas sukan yang sudah berkembang.”
Bekas Pengerusi USSF, Sunil Gulati, yang mempunyai hubungan baik dengan Guardiola, adalah individu pertama yang mencadangkan pelantikannya beberapa tahun lalu.
Nama Guardiola turut muncul dalam senarai calon USSF selepas Piala Dunia 2022 dan ketika mencari pengganti Gregg Berhalter pada 2024, bersama Jurgen Klopp dan Pochettino.
USSF ketika itu turut menggerakkan penaja utama bagi membiayai gaji jurulatih bertaraf dunia, sebelum Pochettino akhirnya dilantik.
Selepas dua tahun bersama Pochettino, USSF kini berdepan kemungkinan berpisah dengan pengendali berusia 54 tahun itu.
Media Britain pada 11 November lalu melaporkan bekas pengendali Tottenham Hotspur itu sudah dihubungi Manchester United bagi memuktamadkan terma kontrak.
The Athletic pada 12 November melaporkan kelab Old Trafford itu sudah menghubungi USSF untuk mengadakan rundingan.
Kontrak Pochettino bersama AS sebenarnya sehingga Piala Dunia 2030, justeru Manchester United berkemungkinan perlu membayar klausa pelepasan AS$10 juta (kira-kira RM40 juta).
Ketua Pegawai Eksekutif Manchester United, Omar Berrada, dilaporkan mengendalikan rundingan secara langsung dengan Pochettino dan USSF.


