
MANCHESTER United akhirnya memecat pengurus pasukan itu, Michael Carrick susulan prestasi buruk Red Devils pada permulaan musim ini.
Keputusan itu dikongsikan wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano menerusi hantaran di platform X.
United mengharungi permulaan musim yang mengecewakan apabila gergasi yang pernah gah itu terjerumus ke zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris.
Carrick sebelum ini terselamat daripada pemecatan pada Oktober selepas mesyuarat tergempar membabitkan pemilik kelab, keluarga Glazer dan Sir Jim Ratcliffe, selain Omar Berrada serta Jason Wilcox susulan kekalahan 0-3 kepada Bournemouth.
Bagaimanapun, ia sekadar menangguhkan pemecatannya apabila bekas pemain tengah itu dilaporkan disingkirkan selepas United terikat 4-4 dengan Aston Villa di laman sendiri dalam perlawanan penuh dramatik, Isnin lalu.
United bangkit dua kali daripada ketinggalan dua gol, termasuk meledak dua jaringan pada masa kecederaan untuk meraih satu mata, namun mereka sepatutnya memenangi perlawanan itu bagi keluar daripada zon penyingkiran.
Romano melaporkan pemecatan Carrick berkuat kuasa serta-merta, namun kelab itu masih belum mengumumkan secara rasmi perpisahan berkenaan.
Pengumuman dijangka dibuat selepas Bursa Saham New York (NYSE) dibuka pada jam 2.30 petang waktu tempatan.
Carrick tiba di pusat latihan Carrington pagi ini bersama dua pegawai eksekutif kelab, Wilcox dan Berrada.
Sebagai syarikat yang disenaraikan di NYSE, Manchester United perlu mematuhi peraturan ketat untuk mengumumkan keputusan penting kepada pasaran terlebih dahulu.
Proses mencari pengganti Carrick juga dilaporkan sudah selesai apabila Mauricio Pochettino dijangka mengambil alih tugas selepas mencapai persetujuan untuk menjadi pengurus baharu di Old Trafford awal minggu ini.
Pochettino kini bersama skuad kebangsaan Amerika Syarikat bagi menghadapi tempoh perlawanan antarabangsa dan United akan membayar pampasan bagi mendapatkan khidmatnya.
Langkah mengikat bekas pengendali Chelsea dan Tottenham itu dilaporkan menelan kos pampasan sekitar £7 juta (RM38 juta), manakala pemecatan Carrick dijangka menelan belanja sekitar RM27 juta.


