
KUALA LUMPUR – Kerajaan meningkatkan peruntukan kepada kontraktor Bumiputera Gred G1 hingga G4 kepada RM7.5 bilion menerusi Belanjawan 2027, berbanding RM4 bilion yang diperuntukkan tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan itu bertujuan membuka lebih banyak peluang kepada kontraktor kecil Bumiputera untuk membina keupayaan, mengembangkan perniagaan serta melaksanakan projek yang diperlukan rakyat.
“Langkah ini bertujuan membuka lebih banyak peluang kepada mereka untuk membina keupayaan, mengembangkan perniagaan dan melaksanakan projek yang diperlukan rakyat.
“Tatacara perolehan turut dipermudah, termasuk menaikkan had lantikan terus bagi kerja penyelenggaraan dan pembaikan fasiliti kerajaan sehingga RM200,000, selain kemudahan pembiayaan serta langkah menangani kenaikan kos diesel dan bitumen,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi libat urus bersama wakil persatuan kontraktor Bumiputera pada Rabu.
Dalam pada itu, Anwar berkata, peluang yang disediakan kerajaan itu perlu dimanfaatkan bagi melahirkan lebih ramai kontraktor Bumiputera yang berdaya saing dan mengamalkan integriti dalam perniagaan.
“Saya mahu peluang ini dimanfaatkan untuk melahirkan lebih ramai kontraktor Bumiputera yang berdaya saing dan berintegriti.
“Setiap projek adalah amanah kepada rakyat yang mesti dilaksanakan dengan mutu terbaik, mengikut jadual dan penuh tanggungjawab,” katanya.


