
SIMUNJAN – Seramai 100 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 daripada empat sekolah menengah di daerah ini menerima bimbingan khusus Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bagi membantu mereka meningkatkan pencapaian mata pelajaran Bahasa Melayu daripada gred B kepada gred A.
Inisiatif itu dilaksanakan menerusi Program Kolaboratif Bahasa Melayu SPM UNIMAS-PPD Simunjan Siri II: 2026 anjuran Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FPBK) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Simunjan.
Program tersebut memberikan tumpuan kepada penguasaan strategi menjawab soalan, khususnya dalam membantu calon yang mempunyai asas akademik baik untuk mencapai keputusan lebih cemerlang.
Berdasarkan analisis penilaian AR2 bagi calon SPM 2026, seramai 140 pelajar di daerah Simunjan dikenal pasti memperoleh gred B dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.
Dapatan berkenaan menjadi asas kepada pelaksanaan bimbingan berfokus bagi memperkukuh kemahiran pelajar sebelum menduduki peperiksaan sebenar.
Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi Seksyen Bahasa Melayu FPBK, Muhammad Qhidir Mat Isa berkata, perbezaan pencapaian antara calon gred B dengan gred A bukan hanya bergantung kepada penguasaan teknik menjawab, malah turut dipengaruhi strategi pembelajaran yang digunakan.
Menurutnya, pelajar yang memperoleh gred B lazimnya sudah mempunyai asas yang baik, namun masih memerlukan pendekatan lebih berkesan untuk meningkatkan ketepatan jawapan serta pengurusan masa ketika peperiksaan.
“Pelajar gred B sudah memiliki teknik. Yang membezakan mereka daripada calon gred A ialah strategi, kerana strategi menjimatkan fokus dan masa,” katanya.
Beliau berkata, antara kelemahan yang dikenal pasti ialah kesukaran sebahagian pelajar memahami kehendak soalan kefahaman serta penulisan meskipun mempunyai kemahiran membaca yang baik.
Sehubungan itu, sesi bimbingan memberikan penekanan kepada penguasaan teknik penulisan karangan Bahasa Melayu SPM Kertas 1, Bahagian A dan B, khususnya soalan berasaskan bahan rangsangan.
Menurutnya, pelajar turut dibimbing untuk memahami kehendak soalan, menyusun isi dan mengembangkan idea bagi menghasilkan karangan yang lebih tersusun serta mempunyai kesinambungan yang baik.
Pendekatan pembelajaran berasaskan Teori Puitika Sastera Melayu turut diperkenalkan, selain teknik tatabahasa binari, peleburan dan bimbingan berperingkat bagi memperkukuh kemahiran penulisan.
Daripada keseluruhan peserta, seramai 40 pelajar mewakili Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simunjan No. 1, manakala SMK Sri Sadong, SMK Gedong dan SMK Sebuyau masing-masing menghantar 20 pelajar.
Program berkenaan turut disertai lapan guru pengiring daripada sekolah terbabit.
Penganjuran siri kedua itu merupakan kesinambungan kerjasama UNIMAS dengan PPD Simunjan selepas pelaksanaan program pertama pada 30 Julai 2025 yang memberikan tumpuan kepada pelajar yang memerlukan pengukuhan pencapaian Bahasa Melayu.
Kerjasama tersebut mencerminkan usaha memperluas akses kepada bimbingan akademik bagi pelajar luar bandar, sekali gus memberi mereka peluang meningkatkan pencapaian setanding dengan pelajar di kawasan bandar.
Inisiatif itu juga selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Keempat (SDG 4) yang menekankan akses kepada pendidikan berkualiti, inklusif dan saksama untuk semua.


