
IPOH – Tawaran pekerjaan dengan upah lumayan untuk membawa barangan berjenama mewah ke London bertukar menjadi jerat apabila seorang lelaki warga Singapura ditahan selepas dikesan membawa 19.04 kilogram (kg) bunga ganja bernilai RM1.52 juta di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), di sini.
Suspek berusia 29 tahun itu ditahan kira-kira jam 6.20 pagi, 8 November lalu, selepas anggota Polis Bantuan LTSAS mengesan sebuah bagasi mencurigakan ketika menjalankan pemeriksaan di kaunter daftar masuk.
Pemeriksaan lanjut terhadap bagasi berkenaan menemukan 36 bungkusan plastik lutsinar yang mengandungi ketulan daun kering disyaki bunga ganja dengan anggaran berat keseluruhan 19.04kg.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, suspek ketika itu dijadualkan menaiki penerbangan dari Ipoh ke Singapura sebelum meneruskan perjalanan ke London.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai diperdaya menerusi tawaran pekerjaan yang ditemukan di sebuah laman web, dengan dijanjikan bayaran lumayan untuk membawa bagasi berisi barangan tiruan berjenama mewah ke destinasi berkenaan.
“Taktik itu dipercayai sebahagian daripada modus operandi sindiket pengedaran dadah yang mempergunakan individu sebagai ‘keldai dadah’ untuk menyeludup bekalan bahan terlarang ke luar negara menggunakan penerbangan komersial.
“Tangkapan dan rampasan dadah itu kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak untuk tindakan dan siasatan lanjut,”katanya ketika sidang media di sini pada Selasa.

Sehubungan itu, ujar Mohd Alwi, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.



