SEMPORNA – Dua pelancong warga China dan seorang kru bot pelancongan cedera ringan selepas bot yang dinaiki mereka dirempuh sebuah bot lain dalam kejadian di perairan Pulau Singamata, di sini, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11.12 pagi itu, bot yang membawa lapan penumpang warga China bersama seorang juragan dan tiga kru dalam perjalanan dari Jeti Seafest menuju ke Pulau Bohey Dulang.
“Kejadian dipercayai berlaku apabila bot berkenaan berhenti di perairan Pulau Singamata selepas enjinnya tersangkut sampah.
“Ketika kru sedang berusaha mengeluarkan sampah berkenaan, bot terbabit tiba-tiba dilanggar dari arah belakang oleh sebuah lagi bot pelancong yang dikendalikan seorang juragan dan seorang kru,” katanya dalam kenyataan media, pada Selasa.
Beliau berkata, perlanggaran itu menyebabkan dua pelancong warga China, masing-masing lelaki berumur 29 tahun dan wanita berumur 28 tahun serta seorang kru bot mengalami kecederaan ringan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 280 Kanun Keseksaan kerana menjalankan perahu dengan gopoh dan Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan melalui perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.
“Semua pemandu dan juragan bot supaya sentiasa berhati-hati ketika mengendalikan bot bagi mengelakkan kejadian tidak diingini yang boleh mengakibatkan kecederaan atau membahayakan keselamatan penumpang serta pengguna pengangkutan air lain,” ujarnya.


