
SHAH ALAM – Kepelbagaian budaya dan perayaan yang diraikan rakyat berbilang kaum merupakan keunikan Malaysia yang perlu terus dihargai, dipelihara dan dilindungi demi memastikan kerukunan serta kestabilan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tanggungjawab memelihara keharmonian itu perlu digalas bersama oleh seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali 2026 anjuran MIC dan Maju Institute of Educational Development (MIED) di Kota Kemuning, di sini, hari ini.
Majlis yang menghimpunkan hampir 3,000 tetamu daripada pelbagai kaum itu turut dihadiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Anwar turut meluangkan masa beramah mesra dengan tetamu sebelum menyertai Vigneswaran dan Ka Siong memotong kek sebagai simbolik kemuncak sambutan berkenaan.
Sementara itu, Vigneswaran berkata, sambutan perayaan seperti Deepavali menjadi medan integrasi kaum yang membuktikan rakyat Malaysia mampu hidup harmoni serta berkongsi kegembiraan tanpa mengira perbezaan politik.
Beliau berharap keakraban yang terjalin dalam kalangan masyarakat dapat terus dipertahankan sebagai kekuatan untuk membawa negara ke arah kemajuan menyeluruh.
Ka Siong pula berkata, suasana meriah majlis itu mencerminkan keunikan kepelbagaian masyarakat Malaysia dalam semangat muhibah yang perlu terus dipelihara demi kemakmuran negara.
Terdahulu, Anwar turut berkunjung ke kediaman keluarga Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan.


