
KOTA MARUDU – Melaka dipilih sebagai lokasi pertama penganjuran Karnival MADANI Kenali Borneo dalam usaha mengangkat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai naratif nasional yang turut difahami masyarakat di Semenanjung.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ir Mustapha Sakmud berkata, usaha itu bertujuan memastikan isu dan perjuangan berkaitan MA63 tidak hanya menjadi perhatian rakyat Sabah dan Sarawak, sebaliknya difahami seluruh rakyat Malaysia.
“Penganjuran karnival berkenaan di Semenanjung akan menggunakan pendekatan penjenamaan semula sebagai Karnival MADANI Kenali Borneo bagi memperluas pemahaman masyarakat mengenai MA63 serta kepentingannya dalam pembentukan Malaysia.
“Masih terdapat masyarakat yang kurang memahami asas perjuangan Sabah dan Sarawak berkaitan MA63, justeru usaha berterusan perlu dilaksanakan bagi menjadikannya sebahagian daripada naratif nasional,” katanya semasa sidang media selepas merasmikan Jelajah Aku Kasih Malaysia@ Sabah bersama Komuniti Kota Marudu, di sini, pada Sabtu.
Tambahnya, karnival itu juga akan menjadi platform untuk memperkenalkan budaya, warisan dan kehidupan masyarakat Sabah dan Sarawak kepada rakyat di Semenanjung.
“Kepelbagaian kaum dan agama di Sabah serta Sarawak yang hidup dalam suasana saling menghormati dan harmoni merupakan antara keunikan yang ingin diketengahkan menerusi penganjuran program berkenaan.
“Antara fungsinya ialah kita mahu membawa budaya dan kisah masyarakat Sabah dan Sarawak, termasuk bagaimana kita hidup bersama walaupun terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, tetapi saling menghormati serta hidup harmoni dalam masyarakat,” kongsinya.
Mustapha berkata, pendekatan itu selaras dengan tema perpaduan dalam kepelbagaian yang mahu diketengahkan menerusi Karnival MADANI Kenali Borneo.
“Penganjuran sulung di Melaka itu diharap dapat meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat mengenai hubungan sejarah Sabah dan Sarawak dalam pembentukan Malaysia serta kepentingan MA63 sebagai asas persekutuan,”ujarnya.



