SUNGAI LEREH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong didakwa gagal memainkan peranan sewajarnya memperjuangkan masalah pesawah apabila aduan dikemukakan hanya berakhir dengan tindakan menghubungi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tanpa tindakan susulan.
Lebih mengecewakan, tindakan itu didakwa tidak membawa kepada penyelesaian konkrit, sekali gus menyebabkan golongan petani terus berdepan masalah sama meskipun sudah mengharapkan pembelaan wakil rakyat kawasan berkenaan.
Pesawah, Abdul Aziz Ab Wahab, 71, berkata, tindakan sedemikian tidak memadai kerana wakil rakyat sepatutnya memainkan peranan lebih besar dengan membawa pihak berkaitan duduk semeja bagi membincangkan masalah penduduk demi mencari penyelesaian konkrit.
Menurutnya, penduduk memilih wakil rakyat yang mampu menjadi penghubung berkesan antara masyarakat dengan agensi kerajaan, terutama apabila isu dibangkitkan membabitkan kepentingan ramai dan sumber pendapatan penduduk.
“Apabila kita mengadu, dia telefon JPS. Sepatutnya wakil rakyat dengan JPS duduk bersama, bincang masalah kampung dan cari jalan untuk mengatasinya. Kita pilih dia sebagai wakil rakyat untuk mewakili kita.
“Jadi, dia perlu bincang apa yang boleh dilakukan untuk menyelesaikan masalah ini, bukannya sekadar telefon JPS dan sampai sekarang tiada tindakan solid diambil,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP), pada Sabtu.
Menurut beliau, pertemuan tiga pihak antara wakil rakyat, JPS dan pesawah perlu diadakan bagi membolehkan masalah sebenar dikenal pasti serta tindakan penyelesaian dipersetujui bersama.

Abdul Aziz memaklumkan, pendekatan itu lebih berkesan berbanding hanya menyerahkan aduan kepada jabatan berkaitan tanpa memastikan tindakan susulan dilaksanakan.
“Bila nak mengundi, kita tengah berak kat jamban dia tunggu. Selepas mengundi batang hidung tak nampak. Dia sanggup duduk jumpa kita dekat dekat tandas tengah berak bila nak mengundi demi dapatkan undi kita. Ha bila lepas mengundi, ha dia tak jumpa kita.
“Macam mana kita hendak buat? Apabila tiba pilihan raya, mereka datang mencari pengundi. Tetapi apabila pengundi berdepan masalah, perkara itu tidak diselesaikan. Jadi, bagaimana?” katanya.
Mengulas permasalahan dihadapi pesawah, Abdul Aziz berkata, peruntukan RM2.2 juta untuk membina saluran paip sementara bagi membantu pesawah mendapatkan bekalan air di Klebang didakwa gagal mencapai matlamat apabila air yang dipam hanya mengalir ke sebahagian kawasan sahaja.
Katanya, masalah itu dipercayai berpunca daripada ketiadaan ujian keberkesanan selepas kontraktor menyiapkan kerja pemasangan saluran paip berkenaan sehingga menjadi penyelesaian kepada masalah pengairan pesawah.
“Selepas kontraktor siapkan kerja, kita sepatutnya buat ujian untuk mengetahui sejauh mana kemampuan air itu boleh menampung keperluan pesawah. Daripada situ, kita boleh kenal pasti masalah dan cari jalan mengatasinya Tetapi ujian itu tidak dibuat. Apabila kita mula menggunakan saluran berkenaan untuk bersawah, barulah timbul masalah.
“Air dipam terus menuju ke hujung, sedangkan kawasan tengah tidak mendapat air. Aliran terlalu laju kerana tiada sistem tahanan untuk mengawal pergerakan air. Kalau ujian dibuat lebih awal, masalah ini mungkin boleh dikenal pasti dan diperbaiki sebelum pesawah menggunakannya,” katanya.


